MACHANG - Silat di atas pucuk kelapa bukan sahaja kedengaran agak pelik malah memberi pelbagai tanggapan masyarakat sehingga mendorong terutama golongan muda untuk melihat sendiri bagaimana pertunjukkanya.

Adakah perlu memanjat pokok kelapa yang tinggi  atau pokok tersebut ditebang terlebih dahulu?

Aktivis seni, Abdul Rahman Dollah berkata, sebenarnya silat itu dilakukan di atas pucuk kelapa yang masih kecil dan menjadi tradisi masyarakat dahulu kala bagi meraikan kelahiran bayi.

“Silat ini cukup popular dalam kalangan masyarakat Melayu terdahulu bagi meraikan anak baru lahir namun kian dilupakan termasuk ada yang menganggapnya sebagai menyalahi hukum agama,” katanya.

Beliau bekata demikian ketika kepada Sinar Harian selepas majlis silat atas pucuk kelapa di Kampung Kemunchup di sini, hari ini.

Menurutnya, majlis tersebut tidak melibatkan sebarang ritual tertentu cuma meraikan bayi dengan mengadakan silat tersebut seterusnya memartabatkan seni silat dalam kalangan masyarakat.

"Seni silat bukan sahaja seni mempertahankan diri tetapi ia juga adalah seni warisan Melayu yang perlu dipertahankan dengan memberi pendedahan kepada golongan muda.

"Seni ini semakin dilupakan dan dengan adanya majlis sebegini kita harap ia dapat memperkenalkan semula seni tradisi nenek moyang supaya mereka tidak lupa asal usul dan terpengaruh dengan budaya barat," katanya.