PASIR PUTEH - Pengumpul barang antik dari Cherang Ruku di sini, puas apabila berjaya melengkapkan koleksi pelita lama dengan penemuan pelita berusia 154 tahun.

Anuar Salleh, 40, berkata, dia yang mengumpul pelbagai jenis pelita sejak awal 90-an lagi berasakan seperti di kemuncak pengumpulan bahan itu apabila menemui pelita buatan England tahun 1864.

Menurutnya, pelita yang tertulis The Jolly Tar pernah digunakan di kapal milik ikon maritim Britain, Jack Tar.

“Saya difahamkan Jack Tar ini kapten kapal Tentera Laut Diraja yang hebat dalam abad ke-18, pelita ini sebagai bukti kemasyhurannya.

“Saya memiliki pelbagai jenis pelita dan pelita The Jolly Tar ini seperti kemuncaknya kerana ia terlalu istimewa, unik dan terlalu sukar untuk diperoleh,” katanya.

Anuar berkata, pelita yang ditemui tertanam di tebing sungai di Semerak ketika dia sedang mencari barangan logam, sebulan lalu itu tertera jenama dan tahun ia­ ­dipatenkan.

“Saya tidak berhasrat ­untuk menjualnya walaupun ada yang menawarkan harga tinggi, saya anggap ia sebagai antara barang antik paling tinggi nilainya dalam koleksi peribadi saya,” katanya.

Selain pelita tersebut, Anuar turut memiliki berpuluh jenis pelita lama termasuk pelita Melayu, pelita nyonya, pelita mini dan pelita tanah liat.