TANAH MERAH - Bantuan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) memberikan kelegaan kepada golongan kurang berkemampuan untuk melakukan persiapan persekolahan yang bermula Selasa depan.

Seorang penerima Shaharudi Shafie, 29, berkata, sebagai seorang penoreh getah, dia berdepan sedikit kesukaran untuk menyediakan persiapan persekolah dua anaknya berikutan musim tengkujuh.

“Untuk menyediakan kelengkapan mereka yang masing-masing akan bersekolah di tahun tiga dan tahun satu saya perlu sekurang-kurangnya RM100 seorang.

"Ketika musim ini saya tidak boleh menoreh, oleh itu bantuan seumpama ini sangat membantu saya sekurang-kurangnya wang yang ada dapat digunakan untuk keperluan persekolahan lain," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan TEKUN Nasional di sini, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kanan (Korporat), Datuk Adam Abdul Ghani.

Murid Sekolah Kebangsaan Tok Che Dol di Gual Ipoh, Haikal Irfan Muhamad,10 berkata bantuan RM100 itu membolehkannya membeli pakaian sekolah baharu.

"Kalau tidak ayah saya berkira-kira untuk membeli pakaian sekolah baharu memandangkan pendapatan ayah tidak  menentu ketika ini sebagai penoreh.

"Saya masih ada dua abang yang masih bersekolah, mereka faham dengan keadaan kewangan ayah, abang masih pakai baju sekolah lama," katanya.

Sementara itu, TEKUN Nasional dalam satu kenyataan berkata, seramai 150 pelajar kurang bernasib baik dari daerah tersebut menerima bantuannya bagi membuat persediaan persekolahan tahun depan.

"Kami amat memahami kekangan kewangan yang dihadapi golongan kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan

"Kami mahu meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam menyediakan persiapan persekolahan terutamanya golongan yang mempunyai ramai anak masih bersekolah," demikian menurut kenyataan itu. - Bernama