KUALA KRAI - Belum selesai masaalah jambatan tenggelam, lebih 2,000 penduduk Kampung Pemberian,dekat sini, turut berdepan masalah bekalan air berikutan paip yang merentangi Sungai Lebir di rempuh kayu hanyut Sabtu lalu.

Berikutan rempuhan itu, sambungan paip terputus menyebabkan penduduk terpaksa bergantung sepenuhnya kepada air hujan untuk urusan harian.

Penduduk, Nordin Hashim, 52, berkata, air hujan bagaimanapun tidak mampu menampung sepenuhnya keperluan air harian mereka.

"Pakaian dan pinggan mangkuk banyak tidak dibasuh, jadi kami amat berharap sambungan segera dilakukan sebaik paras air surut.

"Hidup kami amat tersiksa dengan  jambatan tenggela, bekalan air pula tak ada," katanya.

Sementara itu, Pengurus Jajahan Air Kelantan Sdn Bhd, Nurdin Abdul Rahman berkata, paip akan disambung sebaik paras sungai surut.