KOTA BHARU - Yayasan Islam Kelantan (YIK) tidak menceroboh Maahad Darul Anuar (MADA) sebagaimana dakwaan sesetengah pihak memandangkan sekolah itu sememangnya di bawah kelolaan badan itu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, tanah tersebut telah diwakafkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) kepada YIK sebagai pusat pendidikan.

Malah, YIK juga melantik badan pengurusannya sendiri untuk mengendalikan sekolah tersebut, termasuklah membuka kepada pendaftaran pelajar baharu, minggu lalu.

“Nik Omar Nik Abdul Aziz hanyalah individu, bukan mewakili keluarga. Keluarganya semuanya setuju untuk serahkan kepada YIK. Jadi tidak berbangkitlah... sekolah itu milik keluarga dia. Jadi keluarga yang ada ini mewakili Tok Guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat).

“Sebenarnya tidak ada isu. Kalau nak bercakap mengenai undang-undang, Nik Omar tiada hak atas sekolah dan tanah itu sebab tanah itu milik MAIK.

“Kalau orang YIK pergi pun dengan kaedah undang-undang. Dia (Nik Omar) yang menceroboh sebenarnya,” katanya kepada media di sini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Kelab Media Kelantan Darul Naim yang diketuai oleh Presidennya, Azran Fitri Rahim di pejabatnya, di Kompleks Kota Darul Naim di sini.