TUMPAT - Seorang pemanjat pokok duku tersangkut atas pokok hampir 30 minit apabila dia tiba-tiba pitam di kampung Jubakar Darat, petang tadi.

Kejadian cemas itu hampir meragut nyawa Eh Suk Ah Pelian, 34, namun beliau diselamatkan oleh penduduk kampung dengan mengikat badannya di pokok.

Kejadian jam 4.50 petang itu disedari rakannya, Mohd Nor Awang Hamat, 60, apabila mangsa di atas pokok setinggi lima meter tiba-tiba terkulai.

"Saya panik melihat kakinya terkulai, bimbang dia terjatuh, anak saudara mangsa bersama seorang penduduk panjat pokok itu.

"Kami tidak berani nak bawanya turun, jadi kami ikat badannya di pokok duku agar dia tidak jatuh," katanya.

Mohd Nor kemudiannya menghubungi bomba meminta bantuan.

Operasi menyelamat mangsa diketuai oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba, Raja Arisan Raja Semail.

Raja Arisan berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menurunkan mangsa menggunakan tali penyelamat.

"Mangsa dalam keadaan stabil dan tiada sebarang kecederaan," katanya.