KOTA BHARU - Negeri Kelantan disasar menjadi bandar pelancongan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menjelang tahun 2025, kata Pengerusi PH Negeri, Senator Datuk Husam Musa.

Menurutnya, sasaran tersebut merupakan perancangan induk lima tahun melalui Jawatankuasa Belia, Sukan, Pelancongan dan Seni Budaya yang ditubuhkan pihaknya sejak tiga bulan yang lalu.

“OIC setiap tahun akan memilih bandar-bandar tertentu di seluruh dunia dan kita sasarkan bermula 2025, Kelantan dan kerajaan negeri boleh dipilih sebagai bar dengan rangka pembangunan induk ini.

“Kita percaya ia boleh bantu rakyat negeri ini. Salah satu cara pendidikan dari semua segi.

“Kita juga mahu Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan dihidupkan semula bagi membantu merealisasikan lagi semua perancangan yang telah dirancangkan,” katanya kepada media di sini.

Terdahulu Husam menyertai mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut di pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Negeri Kelantan, di sini.