KUALA KRAI - Lebih 5,000 penduduk terpaksa menggunakan perkhidmatan kapal untuk keluar dari kampung mereka sejak seminggu lalu.

Ia berikutan pangkalan feri yang menjadi persinggahan untuk naik dan menurunkan penumpang serta kenderaan, tenggelam setelah paras sungai meningkat.

Perkhidmatan kapal itu digunakan penduduk dari Pasir Kelang, Kampung Taku, Buyong, Sungai Taku, Taku Estet, Pasir Kelang Lama dan Pasir Kelang Baru.

Walaupun dipanggil kapal, pengangkutan air itu tidaklah sebesar kapal di laut dalam, sebaliknya hanya bersaiz bot biasa dan badannya diperbuat daripada besi.

Pekerja kapal, Faizol Ismail, 28, berkata, kapal tersebut digunakan sebagai pengangkutan penduduk sejak lebih 15 tahun lalu.

“Tetapi setelah feri beroperasi, ia tidak lagi digunakan, hanya apabila paras sungai meningkat baru digunakan.

“Bermula jam 7 pagi hingga hingga 9 malam, saya bersama rakan mengendalikan kapal ini sama seperti masa feri beroperasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selain penumpang, kapal tersebut turut membawa motosikal penduduk.

Bagaimanapun katanya, jumlah motosikal yang boleh dibawa ­bergantung kepada jumlah ­penumpang.

“Jika penumpang ramai, tidak banyak motosikal boleh dibawa menaiki kapal ini,” katanya.

Faizol berkata, tambang yang dikenakan kepada penumpang dan motosikal hanya RM1 bagi perjalanan sehala.

“Sekiranya paras sungai makin tinggi, kapal tidak lagi sesuai digunakan untuk membawa penumpang dan akan digantikan dengan bot laju,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, feri ke Pasir Kelang tidak dapat beroperasi berikutan jeti yang mengambil dan menurunkan penumpang tenggelam.

Sebagai pengganti, pengurusan Koperasi Pasir Kelang Bhd menggunakan kapal berkenaan untuk penduduk keluar masuk ke kampung mereka.