KOTA BHARU - Kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad berkaitan kenaikan harga tambang bas seluruh negara.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kementerian amat bersimpati dengan kenaikan kos yang ditanggung pengusaha syarikat bas yang perlu menanggung kos penyelenggaraan dan pembayaran gaji pekerja mereka.

Beliau berkata, isu itu akan dibawa ke Kabinet untuk menimbangkan kenaikan minimum antara 10 hingga 30 peratus.

"Kita akan bawa perkara ini ke Kabinet untuk bincang sedikit kenaikan yang munasabah.

"Ia melibatkan kemampuan syarikat untuk bayar gaji pekerja, pemandu dan sebagainya. Namun kadar itu belum ditetapkan," katanya ketika sidang media selepas menyaksikan perjanjian persefahaman di antara Scania dan Konsortium E- Mutiara Berhad yang diwakili Pengarah Urusan Scania  Asia Tenggara, Marie Sjodin Enstrom dan Pengerusi Eksekutif E- Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail.

Majlis itu kemudiannya diteruskan dengan 25  E- Mutiara Amazing Years Night Gala  yang dihadiri seluruh kakitangannya.

Manakala Che Ibrahim pula berkata, E- Mutiara telah membeli 19 buah lagi bas Scania yang bernilai RM20 juta untuk kemudahan penumpangnya.

"E- Mutiara sudah bekerjasama dengan Scania sejak 22 tahun lalu. Pemilihan Scania adalah yang dirasakan terbaik untuk kami dari segi sistem dan bas transmisi automatiknya yang lebih menjimatkan minyak lima peratus dan kurang pengeluaran karbon dioksida," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Asia Tenggara, Marie Sjodin Enstrom berkata, Scania bukan sahaja mmembekalkan bas tetapi juga melatih pekerja E- Mutiara.

"Hubungan Scania dan E- Mutiara amat unik dan profesional. Kami bukan sahaja jual bas tetapi juga melatih dan memantau pemanduan ini.

"Kami ada tanggungjawab untuk bantu pastikan kebersihan alam sekitar melalui pengurangan pengeluaran karbon dioksida oleh bas baru ini," jelasnya.