TUMPAT - Semangat kentalnya tidak pernah luntur walaupun tanaman cili yang diusahakan pernah ditenggelami banjir.

Malah, musibah itu memberi suntikan semangat kepadanya untuk bangkit dan mencuba pula teknologi fertigasi gantung.

Mohd Khairil Mat Husien, 33, memulakan tanaman cili fertigasi pada 2015 di Kampung Nechang, di sini.

Hasil yang diperoleh cukup lumayan, namun dia berdepan risiko banjir kerana kawasan kebunnya terletak di kawasan rendah.

Menurutnya, tahun lalu 5,000 pokok cilinya ditenggelami banjir.

"Kesemua tanaman saya seluas satu hektar musnah dalam sekelip mata. Saya mengalami kerugian kira-kira RM50,000," katanya.

Khuatir mengalami nasib sama, tahun ini dia mencuba teknologi fertigasi gantung.

Katanya, dengan kaedah itu, dia tidak perlu risau lagi tanaman cili ditenggelami banjir.

"Sebabnya semua cili saya tergantung tinggi," katanya turut menanam timun fertigasi gantung.

Graduan lepasan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, dia membelanjakan RM25,000 untuk memulakan projek tanaman itu hasil bantuan kewangan daripada adik-beradik.

Menurutnya, permulaannya hanya 1,000 pokok cili yang pada asalnya menggunakan sistem fertigasi atas tanah, namun kini tanamannya itu semakin berkembang.

"Semusim saya dapat tuai cili sekitar dua hingga tiga tan.

"Pasarannya hanya sekitar negeri ini kerana permintaan cili sentiasa ada," katanya.

Mohd Khairil berkata, banyak kebaikan menggunakan teknologi fertigasi gantung, antaranya mengoptimumkan penggunaan tanah.

Katanya, antara tanaman sayur berbuah yang sesuai ialah timun, kacang panjang, petola, terung panjang, cili dan juga sayuran berdaun sebagai kitaran tanaman.