PASIR MAS - Seorang peniaga pisang goreng di Kampung Senor, Meranti di sini, tetap meneruskan perniagaan seperti biasa meskipun gerai yang terletak di hadapan rumahnya itu sudah ditenggelami air sedalam 0.3 meter.

Siti Noor Muhammad, 50, berkata, dia hanya akan menutup operasi gerainya itu apabila diarahkan berpindah oleh pasukan penyelamat.

"Selagi tidak tenggelam dan membahayakan keselamatan, saya akan terus berniaga pisang goreng seperti biasa," katanya.

Menurutnya, dia sudah biasa dengan situasi tersebut memandangkan kawasan Kampung Senor sering ditenggelami banjir pada musim tengkujuh.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pisang goreng yang dijual Siti Noor itu laris dan menjadi tumpuan penduduk setempat.