KOTA BHARU -  Cuti semua pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan dibekukan sehingga hujung tahun ini untuk persediaan menghadapi banjir.

Pengarahnya, Mohd Nazili Mahmood berkata, arahan berkaitan telah dikeluarkan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid agar cuti dibekukan sehingga 31 Disember ini untuk hadapi banjir.

Menurutnya, ia adalah sebahagian daripada persiapan menghadapi banjir termasuk aspek logistik sementelah taburan hujan mulai meningkat sejak semalam.

“Namun kini di Kelantan masih terkawal dan belum ada lagi sebarang operasi pemindahan.

"Kami mempunyai lebih 51 bot , lapan lori, empat pacuan empat roda dan 1,242 jaket keselamatan yang digunakan untuk operasi penyelamat.

“Kami juga telah mempersiapkan 1,475 anggota termasuk bomba bantuan dan sukarela seluruh negeri untuk bersedia menjalankan operasi di kawasan masing-masing.

"Semua anggota ditempatkan di lokasi strategik dan boleh digerakkan pada bila-bila masa,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan hari ini.