TANAH MERAH - Penduduk Taman Maka, Belimbing di sini berdepan masalah tebing runtuh yang menyebabkan sebahagian daripada binaan rumah mereka mendap dan roboh.

Terdapat enam kediaman di kawasan terbabit yang didiami penduduk lebih 30 tahun lalu namun mengalami hakisan sejak banjir besar 2014 lalu.

Keadaan ini bertambah buruk ketika hujan lebat dan mengundang bahaya kepada mereka sehinggakan ada di antara penduduk terpaksa menumpang tinggal di kediaman keluarga kerana takut tanggung risiko rumah yang akan runtuh pada bila-bila masa.

Seorang penduduk, Kuait Tick Ho, 42, berkata, keadaan itu sebenarnya berlarutan sejak banjir besar 2014 lalu, dan sehingga kini kediamannya juga turut mengalami rekahan di bahagian dapur.

Dinding rumah retak akibat tanah mendap dan benteng runtuh.

“Ia membuatkan saya dan abang yang tinggal dalam kediaman keluarga ini, tidak lena tidur kerana cerun belakang rumah akan mendap sedikit demi sedikit ekoran berhampiran sungai dan lebih parah apabila hujan lebat.

“Kami tiada tempat tinggal lain, lagipun inilah rumah pusaka keluarga dan ekoran itu kami tidak menggunakan bahagian dapur dan hanya duduk di ruang tamu,” katanya.

Sementara itu, Bekas Penghulu Tanpa Mukim, Chang Foo Ching, 66, berkata, sebelum ini, masalah terbabit pernah diajukan kepada pihak atasan namun masih belum mendapat maklum balas.

“Kita harap keadaan ini dapat penyelesaian kerana kami bimbang rumah di kawasan ini akan lenyap dan runtuh serta mengundang bahaya kepada penduduk di kawasan,” katanya.