KUALA KRAI - Jenazah masyarakat Orang Asli, Yaakob Keladi, 58, dari Kampung Keluat, Sungai Taku yang meninggal akibat lelah hari ini terpaksa dibawa keluar  dengan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ( APM) untuk dikebumikan.

Jenazah Allahyarham yang meninggal dunia pada jam 1.20 pagi tidak dapat dibawa keluar dengan feri berikutan jeti di Pasir Era dan Pasir Kelang masih tenggelam sejak Khamis lalu.

Pegawai APM Kuala Krai, Kapten (PA) Mohd Hanif Omar berkata, pihaknya menerima pangilan  pada jam 10.30 pagi untuk memohon bantuan membawa keluar jenazah.

"Saya mengetuai khidmat masyarakat bersama seorang pegawai dan enam anggota lain-lain pangkat ke kediaman Allahyarham.

"Dari sana jenazah diusung sejauh dua kilometer ke jeti dan seterusnya dibawa ke Tangga Krai dengan bot," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Hanif berkata, dari Tangga Krai, jenazah dibawa ke Masjid Bandar Kuala Krai dengan lori APM untuk urusan selanjutnya.

Sementara itu, jenazah disembahyangkan di Masjid Bandar Kuala Krai dengan diimamkan Imam Tua, Abdul Muhaimin Yahya selepas sembahyang Asar seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Bandar Kuala Krai.