KOTA BHARU - Polis Kelantan memberi perhatian kepada tiga daerah berisiko banjir, ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, ia berikutan kenaikan paras air di Sungai Golok menghampiri takat bahaya iaitu 8.86 meter.

Menurutnya, tiga daerah tersebut ialah Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah.

Katanya, polis turut memberi tumpuan di kawasan berisiko seluruh negeri namun buat masa ini, paras air sungai lain berada pada ketinggian normal.

"Sekarang Kelantan belum banjir malah pusat pemindahan sementara belum dibuka kerana hanya kawasan rendah melibatkan laluan kampung sahaja dilimpahi air serta boleh dilalui kenderaan berat.

"Bagaimanapun, pegawai dan anggota seluruh negeri diminta bersiap sedia sebagai persediaan sekiranya berlaku banjir," katanya.

Hasanuddin berkata, pihak polis juga memberi tumpuan pada balai atau pondok polis yang dinaiki air.

Buat masa ini katanya, dua balai polis iaitu di Simpangan dan Kuala Jambu, Tumpat diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga kerana berisiko dinaiki banjir.