TUMPAT - Limpahan air sungai Golok menyebabkan beberapa kampung pinggir sungai ini mula dinaiki air sejak malam tadi.

Berikutan itu, penduduk di Kampung Kubang Sawa, Bendang Pak Yong dan Jejulok mula berkemas dan menyimpan dokumen penting di tempat tinggi.

Tinjauan Sinar Harian di Kampung Bendang Pak Yong mendapati kawasan rumah penduduk mula dinaiki air sedalam 0.5 meter.

Kenderaan penduduk mula dipindahkan ke tempat tinggi apabila jalan ke Bendang Pak Yong ditengelami air.

Penduduk Kampung Bendang Pak Yong, Kamiatun Halimi, 40, berkata, air sudah melimpah masuk ke kawasan rumahnya namun perlahan.

"Saya sudah membuat persiapan, akan berpindah sekira air masuk ke dalam rumah.

"Banjir tahun lepas air dalam rumah hampir satu meter," katanya.

Tiada pemindahan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) direkodkan setakat ini.

Laman sesawang infobanjir.water.gov.my setakat jam 1 tengahari menunjukkan air Sungai Golok di Kuala Jambu mencecah 1.92 meter manakala paras amaran 2 meter.