PASIR MAS - Lima puluh keluarga di Kampung Lachang dekat Rantau Panjang, di sini, yang terkepung oleh 'banjir termenung' sejak lebih dua minggu lepas, bernasib baik apabila menerima bantuan berupa kit makanan, hari ini.

Bantuan disampaikan oleh Penggawa Daerah Alor Pasir, Zamany Agus Mohamad yang mewakili Ketua Jajahan Pasir Mas dengan turut dibantu oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurut Kapten (PA) APM Pasir Mas, Mohd Arif Mohd Zain yang mengetuai operasi, bantuan berkenaan  bagi meringankan beban keluarga di situ yang sukar keluar masuk disebabkan kawasan rumah dan jalan perhubungan dinaiki air sedalam antara 0.5 hingga mencecah dua meter.

Katanya, ini adalah bantuan yang pertama kali disampaikan kepada penduduk  sejak kampung itu ditenggelami air.

"Kami sudah menyiapkan sebanyak 1,500 kit makanan kepada penduduk yang terjejas dan selepas ini kami akan ke Kampung Teraji, Sapi dan Siram untuk mengagihkan bantuan.

"Bantuan akan ditambah lagi dari semasa ke semasa kerana daripada data yang diterima, ada kira-kira 5,000 keluarga di daerah ini yang terjejas," katanya selepas pengagihan kit makanan di Kampung Lanchang, di sini, hari ini.

Seorang penduduk yang ditemui, Maizon Mohd Nasir, 49, berkata dia berterima kasih kepada pihak berkuasa yang sudi menyumbangkan bantuan kepada keluarganya selepas kawasan rumah dinaiki air.

Ibu 12 orang anak ini berkata, air masuk ke kawasan kampung ini sejak 6 Dis lepas dan masih belum surut.

"Sebelum ini penduduk di sini tidak pernah menerima sebarang bantuan walaupun ketika dipindahkan ketika banjir besar dahulu kami ada dijanjikan bantuan.

"Yang paling memeritkan, sekiranya banjir termenung seperti ini sudah pasti ia mengambil masa untuk surut dan adakalanya selama tiga minggu. Saya berharap ada kaedah bagi mengelak berlakunya keadaan seperti ini di masa akan datang," katanya.

Jelasnya, kebanyakan penduduk di sini mahir mengayuh perahu ataupun mengendalikan bot enjin galah disebabkan sudah terbiasa dengan keadaan banjir termenung. - Bernama