JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir supaya mengambil tindakan berjaga-jaga susulan fenomena air pasang besar yang sedang berlaku.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal berkata, penduduk dinasihatkan supaya elak melakukan sebarang aktiviti air serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Berdasarkan ramalan air pasang surut bulan ini, paras air laut dijangka berada pada paras tertinggi sehingga 3.84 meter dalam tempoh tersebut.

“Sekiranya dalam tempoh tersebut berlakunya hujan lebat yang berpanjangan, risiko banjir akan meningkat terutamanya kawasan pesisiran pantai serta lembangan sungai,” katanya kepada Sinar Harian.

Sahruddin berkata, antara kawasan dijangka terjejas adalah Kesang dan Tanjung Agas (Tangkak), Tanjung Emas, Parit Jawa dan Parit Keroma (Muar), Pantai Punggur, Minyak Beku, Sg Ayam, Parit Haji Salam (Batu Pahat), Kukup, Kuala Sungai Penerok, Pontian Besar (Pontian).

Katanya, turut terjejas ialah Kampung Senibong, Kampung Bakar Batu (Johor Bahru), Persisiran Sungai Johor, Kampung Tembioh, Kampung Kelantan (Kota Tinggi) serta Persisiran Sungai Endau, Persisiran Sungai Tenglu (Mersing).

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan persediaan awal telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah di bawah bidang kuasa Pegawai Daerah.

Katanya, persediaan awal seperti penghantaran bantuan pangkalan hadapan sudah dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkaitan.

“Saya harap penduduk kawasan terjejas peka dan patuh arahan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya keadaan semakin memburuk,” katanya.