JOHOR BAHRU - Pembukaan sesi persekolahan 2019 amat bermakna bagi kanak-kanak seperti Siti Norsolhatul Amilah Sabor, 11, apabila menerima kelengkapan baharu sekolah sumbangan Yayasan Sayang Mutiara (YSM) di Sangkar Kristal, Jalan Serampang, di sini, baru-baru ini.

Anak keempat daripada tujuh beradik yang tinggal di Taman Pulai Perdana itu juga tidak berhenti mengucapkan terima kasih kerana sekian lama tidak merasa memakai pakaian baharu.

“Sebelum ini apabila masuk sesi persekolahan, saya hanya memakai pakaian sekolah terpakai didermakan keluarga lain yang bermurah hati dan prihatin.

“Bapa saya hanya bekerja kilang manakala ibu pula suri rumah selain mempunyai tiga adik beradik orang kurang upaya (OKU),” katanya ketika program Back To School anjuran YSM.

Sumbangan tersebut menyaksikan seramai 200 kanak-kanak menerima kelengkapan persekolahan sesi 2019.

Hadir menyampaikan sumbangan, Adun Larkin, Mohd Izhar Ahmad.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Hazlina Hamidun, 45, berkata, sumbangan tersebut membantu meringankan bebannya tambahan pula dia kini terpaksa mengambil tanggungjawab menjaga lima anak saudaranya sejak dua tahun lalu.

“Sebelum ini kami hanya bergantung harap pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan.

“Bila nak mula sekolah ini, dapat lah juga anak saudara saya merasa pakaian yang elok untuk ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Izhar berkata, program Back To School merupakan aktiviti tahunan yang telah dilakukan sejak 10 tahun lalu bertujuan membantu pelajar daripada keluarga yang memerlukan.

Katanya, dana diperoleh hasil sumbangan syarikat dalam Kumpulan Mutiara Motors, kakitangannya dan individu perseorangan yang bermurah hati.

“Kita harap YSM dapat mengumpul lebih banyak lagi dana bagi membolehkan yayasan berkenaan meluaskan aktiviti kebajikan, amal dan kemasyarakatan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, YSM juga komited memberikan sumbangan kepada sekolah, rumah ibadat, pertubuhan kebajikan dan golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang mereka.