KOTA TINGGI - "Kami sempat meraikan ulang tahun kelahiran suami jam 12 malam kelmarin," kata Siti Nadiah Minhat, 28, isteri kepada mangsa serangan gajah liar di Ladang Felcra Dusun Panti.

Menurutnya, dia juga sempat memberi hadiah jam tangan sebagai tanda kenangan kepada suaminya ketika meraikan ulang tahun tersebut.

"Semalam (kelmarin) merupakan hari lahir suami. Jadi saya sempat sambut bersama malam itu dia balik rumah sekejap.

"Siangnya kami sempat keluar bersama suami ajak beli beg tangan untuk percutian yang kami rancang pada Januari ini. Dia mahu ajak saya ke Pahang untuk lihat gajah.

"Masa tu suami seolah-olah bertegas mahu belikan awal beg itu meskipun lama lagi kami akan bercuti. Saya hanya ikutkan sahaja. Tak sangka itu adalah kali terakhir kami keluar bersama," katanya kepada pemberita sejurus selesai majlis pengebumian

Allahyarham suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mawai Baru, semalam.

Abang mangsa, Mohamad Hairul Mohd Yazid, 36, pula berkata, tarikh pemergian adik bongsunya itu sama dengan tarikh arwah bapa mereka meninggal dunia.

Katanya, Allahyarham merupakan seorang adik yang suka bergurau dan pada hari kejadian dia sepatutnya diraikan dalam satu majlis ulang tahun yang turut disertai rakan sekerja selepas pulang kerja.

"Kami rancang nak sambut ulang tahun dia sambil buat doa selamat untuk arwah ayah. Tak sangka pula kami terima kejutan seperti ini.

"Hajat arwah yang mahu memiliki kereta Mitsubishi Triton juga tercapai. Arwah sangat beria mahu beli kereta tersebut sempena hari jadinya dan baru sahaja 10 hari dia pakai kereta tersebut," katanya.