JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 melakukan serbuan ke atas sebuah rumah disyaki dijadikan stor simpanan rokok tidak sah dan minuman keras di Indahpura, dekat Kulai, semalam.

Serbuan Op Landai Khas PPM Wilayah 2 itu dilakukan sekitar jam 3.45 petang, hasil maklumat penyeludupan minuman keras dan rokok tidak sah di negeri ini.

Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin (URM) menyerbu rumah terbabit.

Menurutnya, modus operandi kegiatan penyeludupan itu adalah menjadikan kawasan perumahan yang mempunyai 'guard house' sebagai stor simpanan rokok dan minuman tidak sah berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Semasa serbuan dijalankan, didapati rumah tersebut tidak berpenghuni dan pasukan serbuan telah melakukan pemeriksaan menyeluruh dari luar rumah.

"Hasil pemerhatian melalui tingkat rumah, pasukan operasi telah terlihat sejumlah kotak berwarna coklat disyaki rokok dan sejumlah kotak mengandungi minuman keras," katanya pada sidang media di markas PPM Wilayah 2 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow.

Paul berkata, pegawai operasi telah mengarahkan pasukan serbuan menjalankan pemeriksaan ke atas premis dan hasilnya, ditemukan 46,500 paket rokok selain 2,639 botol dan 15,576 tin minuman keras pelbagai jenama tidak sah dipercayai diseludup masuk ke negara ini.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM685,392 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan Jabatan Kastam.

"Barang rampasan telah dibawa ke markas PPM Wilayah 2 untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan dan memburu dalang sindiket yang terlibat.

"PPM sentiasa komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan kontraban dan semua jenis jenayah melibatkan perairan negara serta jenayah rentas sempadan," katanya.

Beliau berkata, operasi berterusan akan dilaksanakan oleh PPM di seluruh perairan dan pesisir pantai Malaysia, sejajar dengan dasar kerajaan baharu bagi membanteras pengaliran hasil negara secara haram.

Selain itu, Paul memaklumkan rampasan terbabit merupakan kes yang ke-19 bagi rampasan rokok tidak sah, manakala untuk rampasan minuman keras adalah kes ketujuh pada tahun ini.

"Pada tahun ini, sebanyak 791,030 paket rokok telah dirampas melibatkan nilai RM8 juta sementara bagi minuman keras adalah 4,294 botol dan 31,831 tin bernilai RM194,777," katanya.