JOHOR BAHRU - Penduduk Kampung Dato Hajjah Hasnah Ahmad (KDHHA) Majidee, di sini menghantar memorandum kepada Pejabat Menteri Besar bagi mendapatkan pemilikan geran persendirian untuk kampung berkenaan yang terletak di mukim Plentong, di sini.

Memorandum berkenaan yang mewakili lebih 100 penduduk kampung itu disampaikan Timbalan Pengerusi Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Bertindak KDHHA, Mohd Yatim Ejat kepada Pegawai Khas Menteri Besar Johor, Syed Othman Abdullah.

Menurut Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Bertindak KDHHA, Zamri A Rahman, memorandum berkenaan bertujuan meminta perhatian Menteri Besar, Datuk Osman Sapian agar menyokong permohonan penduduk untuk terus tinggal di kampung tersebut yang telah diduduki sejak 46 tahun lalu.

"Permohonan kami pada awalnya tiada halangan dari segi teknikal. Berdasarkan rekod kami, pihak Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru (PTDJB) telah menjalankan bancian sebagai penyediaan laporan tujuan persidangan Exco bagi kelulusan.

"Namun, bancian dihentikan pada 24 Ogos 2017 berikutan arahan daripada pihak PTDJB serta tekanan politik pihak tertentu dan sehingga kini, kami tidak mengetahui nasib kami kerana surat penolakan yang diserahkan tidak menyatakan sebarang alasan," katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan itu, pihaknya membuat rayuan kepada pihak berkenaan agar permohonan penduduk kampung dapat diberi pertimbangan.

"Bagaimanapun, kami dimaklumkan pula tanah yang kami duduki ini merupakan pemilikan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

"Alasan ini sememangnya tidak boleh diterima memandangkan kami telah meneroka dan mendapat lesen menduduki sementara (LMS) sejak sekian lama," katanya.

Pihaknya telah beberapa kali mengemukakan rayuan kepada pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, bagaimanapun jawapan tetap mengecewakan.

"Kami ada ditawarkan rumah pangsapuri bernilai RM35,000, tapi kami lebih selesa menetap di kediaman lama memandangkan ramai penduduk terdiri daripada warga emas dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Oleh itu, kami sangat berharap permohonan kami diberi perhatian oleh kerajaan Pakatan Harapan dengan kadar segera,” katanya.

Tambahnya, besar harapan penduduk untuk menamakan kampung mereka sebagai Kampung Laksamana Johor andainya diberi geran persendirian kelak.