BATU PAHAT - Jika ingin menikmati hidangan lazat dan terbaik, tanya sahaja kepada ‘kaki makan’ dan pasti ada jawapannya kerana mereka akan singgah ke gerai atau restoran yang menjadi bualan ramai untuk mencuba kelazatan menu diperkatakan.

Bagi peminat sup tulang ‘gearbox’, salah satu lokasi di daerah ini yang perlu disinggah untuk mencuba dan rasakan sendiri ‘kepaduannya’ adalah di Warung Seri Harmoni, Batu 7, Tongkang Pechah di sini.

Bagi penduduk daerah ini, sebut sahaja nasi goreng ajahar, mereka pasti tahu di mana lokasinya, selain hidangan berkenaan unik, rasanya cukup berbeza dengan nasi goreng kampung.

Selain itu, nasi goreng tersebut yang dihidangkan bersama sup tulang gearbox pasti membuka selera pelanggan ketika suapan kali pertama dan pasti akan kembali lagi untuk menikmati hidangan tersebut.

Bagi pemilik warung berkenaan, Ajahar Abdul Rahim, idea mencipta resipi tersebut muncul kira-kira lima tahun lalu, ketika sedang memikirkan menu istimewa dan lain daripada yang lain agar dapat menarik minat pelanggan untuk datang ke warungnya.

“Saya mula menceburi bidang masakan ini ini kira-kira lapan tahun lalu dan dalam tiga tahun pertama adalah yang paling mencabar dan ketika itu saya hanya menyediakan menu yang biasa sahaja termasuk masakan goreng-goreng panas.

“Tiga tahun saya tercari-cari menu istimewa untuk para pelanggan dan sebelum adanya nasi goreng kampung gearbox ini, pelanggan datang tidak menentu dan ada satu ketikanya saya hampir putus asa untuk berniaga lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, secara spontan dia mendapat idea untuk memasak nasi goreng bersama tulang ‘gearbox’ dan ketika itu individu pertama yang merasai nasi goreng ini ialah ibu mertuanya, Mariam Harun.

Katanya, ibu mentuanya kemudian memintanya untuk menghidangkan nasi goreng gearbox tersebut kepada pelanggannya dan terkejut apabila menerima reaksi positif daripada pelanggan kerana hidangan berkenaan tidak diperolehi di tempat lain di daerah ini.

“Pelanggan yang mengetahui nasi goreng ini ada yang datang semata-mata untuk makan nasi goreng saya sahaja, termasuklah dari Selangor, Kuala Lumpur, Singapura  dan ada yang sanggup tunggu berjam-jam apabila pelanggan terlalu ramai.

“Setiap hari terutamanya hujung minggu saya perlu sediakan lebih 40kg sup tulang dan berpuluh-puluh kampit beras untuk memenuhi permintaan pelanggan dan ada yang datang dari Sabah,” katanya.