JOHOR BAHRU - Belanjawan dan fokus pembangunan negeri yang ingin dilaksanakan Kerajaan PH di Johor nyata tersasar serta masih belum menunjukkan keberkesanannya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu dilihat menerusi pelbagai sektor dan agenda yang ingin dicapai tetapi gagal membuktikan kaedah pelaksanaannya.

Menurutnya, sebagai contoh ekonomi negeri Johor yang disasarkan berkembang 5.0 ke 5.5 peratus bagi tahun 2019 tetapi tidak dihuraikan bagaimana kaedah spesifik bagaimana untuk mencapainya.

“Bagaimana sasaran ini akan dicapai? Tiada lonjakan dan rangsangan baharu yang diperkenal untuk memacu ekonomi Johor.

“Lebih teruk, pembangunan negeri Johor turut mencatatkan penurunan peruntukan sebanyak 14.3 peratus berbanding yang diperuntukkan dalam Bajet Negeri 2018 Kerajaan BN sebelum ini.

“Dalam jangkaan ekonomi yang malap pada tahun hadapan, kerajaan negeri sepatutnya meningkatkan pelaburannya untuk projek- projek pembangunan agar dapat memberikan kesan berganda yang merangsang kerancakan ekonomi keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga tidak menawarkan sebarang inisiatif konkrit atau pakej menarik pelaburan untuk meneruskan prestasi cemerlang negeri sebagai salah satu destinasi pelaburan utama dalam negara.

“Untuk rekod, pada tahun 2016 Johor mencatatkan jumlah pelaburan langsung terbesar diluluskan dalam sektor pembuatan mencakupi 45.6 peratus dari keseluruhan negara. Jumlah ini adalah tiga kali ganda jumlah di Selangor dan enam kali jumlah di Pulau Pinang.

“Jadi, ukuran kegagalan atau kejayaan terbesar kepada kerajan negeri pastinya apabila Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) mengeluarkan laporannya kelak. Kita tunggulah laporan itu nanti, adakah Johor akan kekal sebagai destinasi pelaburan luar tertinggi atau tidak,” katanya.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor turut melihat kerajaan negeri kini seperti mengenepikan keperluan masyarakat luar bandar serta tidak mempunyai inisiatif untuk kemajuan ekonomi digital di negeri.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, lemahnya suara serta kepimpinan yang ditunjukkan Menteri Besar, Datuk Osman boleh  mengakibatkan masa depan dan potensi negeri ini menjadi lebih malap.

“Jika keadaan ini berterusan, masa depan Johor yang sarat dengan potensi pasti menjadi perlahan akibat pentadbirnya yang terlalu berpolitik, hilang fokus dan menyimpan dendam.

“Boleh lihat sehingga kini, isu berkaitan pertembungan Malaysia dengan Singapura tidak sedikit pun diulas dan diuruskan dengan meyakinkan oleh MB Johor. Beliau harus ingat, Johor mempunyai kepentingannya tersendiri. Kita tidak boleh hanya membiarkan kerajaan Persekutuan sahaja yang menjadi jurucakap kita tanpa memberikan pandangan serta saranan yang sesuai dengan cara Johor,” katanya.