MERSING - Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan diri dari air pasang ketika memancing di Pantai Kampung Sri Pantai, Mersing malam semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superintendan Mohd Nor Mohd Isa berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dikenali sebagai Sudirman Mohamad, 38, cuba menyeberang dari Batu Sirik ke Pantai Kampung Sri Pantai.

"Mangsa yang menetap di Kampung Sri Pantai bersama seorang rakan telah pergi ke pantai berkenaan. Ketika air laut surut, mangsa dan rakannya telah berjalan kaki ke Batu Sisik untuk memancing.

"Pada jam 10 malam, kedua-duanya bergerak pulang ke darat. Namun ketika itu air laut telah mula pasang dan mereka telah cuba berenang dari Batu Sisik ke Pantai Kampung Sri Pantai.

"Bagaimanapun mangsa hilang dari pandangan rakannya dan dipercayai telah lemas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kehilangan mangsa disedari rakannya selepas mereka berenang kira-kira 20 minit.

Jelasnya, rakan mangsa kemudian telah berjaya berenang ke pantai dan seterusnya mendapatkan bantuan.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan kekuatan anggota dari Balai Mersing, Pasukan Polis Merin Mersing, Bomba dan Penyelamat Mersing dan juga Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Mersing," katanya lagi.