PENGERANG - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang menggalakkan komuniti sekitar Pengerang untuk turut serta dalam kempen Pengerang Indah Masyarakat Sejahtera (PIMS).

Yang Dipertua PBT Pengerang, Bukhari Abd Rahman berkata, kempen berkenaan bertujuan untuk memupuk nilai murni masyarakat sekitar dalam usaha mencintai kecantikan dan kebersihan di kawasan itu.

“Ia juga sejajar dengan misi PBT Pengerang untuk mewujudkan sifar sampah di sekitar Pengerang.

“Sehubungan dengan itu, kepada warga Pengerang yang dapat merakam atau mengambil gambar pelaku yang melakukan kesalahan seperti membuang sampah di tempat awam, merokok di kawasan larangan dan melakukan sebarang aktiviti dan budaya vandalisme yang merosakkan harta awam, boleh mengemukakan gambar tersebut.

“Maklumat lengkap seperti tarikh, masa dan lokasi boleh disalurkan di talian 019-7113532,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana nama dan identiti pengadu akan dirahsiakan.

Beliau juga memaklumkan sagu hati menarik dan sijil penghargaan akan diberi kepada pengirim yang berikan maklumat lengkap kepada PBT Pengerang.