JOHOR BAHRU - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran membabitkan sebuah kilang dan lori minyak di Taman Mount Austin, baru-baru ini.

Pengarahnya, Ir Dasuki Mohd Heak berkata, pihaknya juga mengeluarkan dua notis bagi pemberhentian operasi kerja sementara siasatan lanjut dilakukan.

"Kita mengeluarkan satu notis larangan ke atas kegagalan mengadakan dokumen Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (Hirarc).

"Satu lagi notis adalah kerana kilang ini gagal mengadakan dokumen bagi prosedur kerja selamat di tempat kerja," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dasuki berkata, tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) ke atas pihak yang bertanggungjawab.

“Siasatan awal kita percaya kebakaran tercetus ketika proses pemindahan minyak dilakukan dan mengakibatkan pemandu lori berkenaan disambar api sebelum meninggal dunia kerana cedera parah,” katanya.

Terbaharu, JKKP memaklumkan, pemilik kilang yang melecur 95 peratus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana cuba membantu mangsa ketika kejadian disahkan meninggal dunia.