JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor tidak menjanjikan projek-projek mega untuk  rakyat sepertimana kerajaan terdahulu, sebaliknya komited untuk menangani masalah semasa seperti “lebihan pembekalan” rumah yang melanda negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kerajaan negeri berusaha menangani masalah ini dengan bijak dan cermat.

“Masalah seperti ini akan memberi kesan langsung terhadap kesihatan ekonomi tempatan. Untuk memulihkan keadaan ini, ia bukan sahaja memerlukan masa tetapi suatu perancangan yang teliti dan tuntas,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata antara isu utama yang sedang berlaku di Johor ketika ini khususnya di Wilayah Pembangunan Iskandar ialah isu tawaran premis atau perumahan yang berlebihan berbanding permintaan.

Justeru, katanya fokus Belanjawan Johor 2019 adalah untuk memperkukuh daya saing kumpulan penggerak ekonomi tempatan.

“Kami yakin dengan cara ini, kuasa beli rakyat, akan meningkat apabila keupayaan mereka diperkasa. Ini cara kerajaan baharu mengurus dan menggalang pelan pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Menurut Sheikh Umar, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, faktor-faktor di dalam kawalan, harus diurus dengan penuh cermat.

“Jangan kerana ghairah untuk melihat perubahan, maka segala data-data ramalan pertumbuhan ekonomi “diusik’ agar kelihatan boleh dicapai dan dilihat ‘cantik’ untuk dilaksanakan,” tambah Adun Paloh itu.

Beliau berkata, demikian ketika mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengambarkan belanjawan kerajaan negeri baru-baru ini kelihatan seperti  kerajaan PH tidak tahu mengurus ekonomi negeri.

“Kerajaan PH hari ini baru berumur setahun jagung, tetapi digambarkan dengan sangat jelek. Adakah ini adil bagi seorang tokoh seperti beliau yang banyak jasanya kepada negeri?

“Sungguhpun kami baru setahun jagung, namun usaha menggalang reformasi sistem dalam suasana ekonomi yang lembap seperti hari ini, kami tetap komited dan yakin bahawa belanjawan 2019 adalah jelas menfokus kepada pembangunan yang bersasar,” tambah beliau lagi. - Bernama