JOHOR BAHRU - Dianggarkan kira-kira 440 juta liter pembaziran air dibuat di negeri ini pada setiap hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn Bhd (SAJ), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, tidak dinafikan jumlah pembaziran tersebut merupakan angka yang besar.

Menurutnya, pembaziran berkenaan berpunca daripada dua komponen iaitu kehilangan fizikal dan komersial.

"Kehilangan fizikal bermaksud membabitkan kebocoran atau paip pecah yang kebiasaannya melibatkan paip-paip lama berusia lebih 20 tahun, manakala kehilangan komersial merangkumi bacaan meter tidak tepat dan penggunaan air tidak sah serta kegunaan air yang tidak dibilkan.

"Pada tahun ini, pihak SAJ mencapai kadar penurunan pembaziran air atau kadar Air Tidak Berhasil (NRW) sebanyak 24.12 peratus dan menyasarkan sehingga paras 10 peratus menjelang 2022 dan seterusnya lima peratus menjelang 2025," katanya.

Mohd Izhar menaiki jengkaut sebagai menyempurnakan gimik perasmian.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa Majlis Pelancaran Inisiatif NRW Johor di Kampung Bendahara, di sini, hari ini.

Program itu disempurnakan oleh Adun Larkin, Mohd Izhar Ahmad.

Berikutan itu, Ahmad Faizal berkata, pihaknya sudah mempunyai pelan perancangan dan tindakan bagi memastikan penurunan kadar kehilangan fizikal ini.

"Ia menerusi penggantian paip-paip lama jenis Asbestos Cement (AC) kepada paip jenis High Density Polyethylene (HDPE).

"Insiatif penggantian paip lama sepanjang kira-kira 5,500 Kilometer ini melibatkan anggaran kos RM3 bilion sehingga 2025 di seluruh negeri ini," katanya.

Ujarnya lagi, sebanyak 94 projek penggantian paip dijalankan secara berperingkat hingga 2020 termasuk 58 di Johor Bahru, 13 projek di Kulai, 17 projek di Pontian, empat di Kota Tinggi serta dua di Muar.