BATU PAHAT - Program kerohanian dan keagamaan di sekolah kebangsaan seharusnya diteruskan kerana terbukti dalam pembinaan sahsiah para pelajar yang bakal pemimpin negara kelak.

Exco Hal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan berkata, subjek Pendidikan Islam juga wajar diberi keutamaan dan bukannya dikurangkan waktu kerana agama merupakan teras dalam kehidupan.

“Pada pandangan peribadi saya sebagai bekas guru, program-program keagamaan ini memang baik untuk pembentukan sahsiah pelajar agar mereka ini terdidik dengan akhlak yang mulia sebagaimana akhlak Rasulullah.

“Antara akhlak yang mulia tersebut adalah seperti mempunyai integriti yang tinggi, amanah dan bertanggungjawab dan daya kreativiti yang baik. Bagi saya pentingnya penerapan nilai-nilai Islam di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah Peringkat Negeri Johor dan Insentif Harapan Siswa Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) di Dewan Orang Ramai Tongkang Pechah di sini, semalam.

Sementara itu, mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa sekolah kebangsaan di negara ini berubah ke arah sekolah agama, Aminolhuda berkata, mungkin terdapat penjelasan tidak tepat oleh segelintir pihak sehingga mengubah maksud.

Pada masa sama, Mainj memperuntukkan RM24.7 juta kepada Bahagian Pendidikan pada 2019 yang akan memberi manfaat kepada 48,330 orang murid di negeri ini.

Katanya, bantuan tersebut termasuk bantuan yuran sekolah sejumlah RM1.2 juta, bantuan biasiswa pelajar luar negara (RM1.4 juta), program makanan sihat (RM1 juta), bantuan pinjaman pendidikan luar negara (RM6 juta), bantuan basikal (RM100,000) dan bayaran pendaftaran di institusi pengajian tinggi tempatan (RM2 juta).

“Secara keseluruhan, agihan zakat Mainj sehingga penghujung tahun ini diinfak sebanyak RM299.81 juta dan merupakan agihan tertinggi kepada semua golongan asnaf sehingga November lalu.

“Manakala, bagi kutipan zakat sehingga bulan ini, Mainj mengumpul RM245.09 juta. Kita berharap kutipan zakat di negeri ini meningkat agar bantuan kepada golongan asnaf ini ditingkatkan,” katanya.

Berhubung sumbangan keperluan pakaian sekolah, sejak 2007 Mainj telah mengubah kaedah pemberian tender dengan melantik pembekal di setiap daerah dan setiap daerah sekurang-kurangnya mempunyai lima syarikat pembekal yang dilantik.

Katanya, Mainj kemudian bersetuju melantik pembekal dengan kebenaran Pejabat Perbendaharaan Negeri Johor bagi lantikan terus dengan kos sebanyak tidak lebih RM5 juta sahaja.