KULAI - Kulai terbentuk hasil daripada pecahan bahagian utara daerah Johor Bahru yang merangkumi bandar Kulai, Ayer Bemban, Bukit Batu, Kelapa Sawit, Saleng, Sedenak, Seelong, Senai dan Sengkang.

Dalam aspek pentadbiran, daerah Kulai diselia di bawah Pejabat Daerah Kulai, manakala pihak berkuasa tempatan adalah Majlis Perbandaran Kulai (MPku).

Daerah ini mempunyai tiga Dun iaitu Senai, Bukit Batu dan Bukit Permai yang mana kerusi Parlimen Kulai adalah kerusi yang mengandungi peratus penduduk Cina antara yang tertinggi di negeri ini.

Kebanyakan penduduk tempatan bergiat dalam sektor pertanian terutama di ladang getah serta kelapa sawit dan dianggarkan terdapat lebih 320,000 penduduk di kawasan Kulai.

Kawasan ini mempunyai antara penempatan Felda terawal di negeri ini iaitu Felda Taib Andak dan dua lagi Felda lain yang terdapat di daerah ini adalah Felda Inas serta Felda Bukit Permai.

Menurut Pembantu Khas Ahli Parlimen Kulai, Wong Bor Yang, asal-usul nama Kulai mengikut cerita orang lama diambil daripada peristiwa banjir di kawasan ini.

"Kawasan ini dikatakan sering menerima banjir besar. Pada ketika itu, banyak kura-kura akan muncul di sekitar kawasan ini.

"Kemudian biasanya orang Cina sebut perkataan 'lai' yang membawa maksud datang.

"Jadi, apabila digabungkan kedua-dua perkataan itu, ia menjadi Kulai," katanya kepada Sinar Harian.

Kini, ujar Bor Yang, keadaan ekonomi di Kulai juga semakin berkembang berikutan pertambahan kilang yang dibina di Kulai dan Senai berikutan ia terletak di Wilayah Pembangunan Iskandar.

"Banyak kemajuan berlaku di Kulai antaranya pembukaan Johor Premium Outlet (JPO) yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

"Kemajuan JPO juga menjadi lokasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan Kulai serta Johor sendiri.

"Malah dengan kewujudan JPO juga kerajaan negeri telah mengumumkan Kulai sebagai hab pelancongan dan destinasi membeli-belah," katanya.