TANGKAK - Kerajaan Johor mensasarkan sehingga RM500,000 kutipan tambahan diperolehi Tabung Pembangunan Masjid dan Amal Jariah Johor (TPMDAJJ) bermula tahun depan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, kutipan keseluruhan sehingga RM5.5 juta itu disasarkan bermula 2019 berbanding RM5 juta nilai sasaran saban tahun sebelum ini.

Katanya, peningkatan jumlah kutipan itu bakal dicapai apabila pihaknya melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) melancarkan Aplikasi Boost E-Wallet Tabung Pembangunan Masjid dan Amal Jariah Johor.

Menurutnya, inisiatif daripada penghasilan syarikat Axiata Group itu selaras dengan kecanggihan teknologi di mana memudahkan orang ramai untuk menyumbang secara atas talian setelah mengimbas kod bar (barcode) di masjid terpilih.

“Melalui sistem Boost ini, pengguna hanya klik ke Tabung Pembangunan Masjid dan Amal Jariah Johor dengan memasukkan nilai sumbangan minima hanya RM2 sahaja.

“Namun, syarat pertama adalah mereka harus mengimbas kod bar yang disediakan di masjid dan kemudian barulah sistem TPMDAJJ ini akan berada dalam aplikasi Boost mereka. Untuk peringkat awal, sebanyak 100 pelekat khas kod bar ditampal di 27 buah masjid kerajaan dan 73 masjid kariah di Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis pelancaran Aplikasi Boost E-Wallet Tabung Pembangunan Masjid dan Amal Jariah Johor di Dewan Jubli Intan, Dataran Tangkak, di sini.

Hadir sama, Pengarah Jainj, Md Rofiki Datuk Samsuddin; Pegawai Daerah, Mahadon Marnin dan Adun Serom, Dr Ir Faizul Amri Adnan.

Tambah Aminolhuda, bagi fasa kedua, 100 lagi pelekat kod bar akan diletakkan di daerah Kluang sebelum fasa ketiga dan seterusnya menyusul di beberapa masjid daerah lain.

Tambah beliau, berdasarkan rekod, Jainj berjaya memperoleh kutipan TPMDAJJ sehingga RM5.1 pada 2016 dan RM5.7 juta pada tahun lalu.

“Manakala bagi Januari hingga November tahun ini, kutipan tabung telah mencapai sebanyak RM5.3 juta iaitu melebihi sasaran kita bernilai RM5juta.

“Justeru, saya percaya, dengan kemudahan aplikasi ini, insya-ALLAH jumlah kutipan dalam TPMDAJJ akan lebih memberangsangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Aminolhuda berkata, sebanyak RM3.5 juta hasil TPMDAJJ diperuntukkan kepada 24 masjid dan 48 surau di negeri ini bagi kerja-kerja membaik pulih termasuk menggantikan rumah ibadah yang uzur.