PENGERANG - Seramai 10 pasangan terdiri daripada golongan asnaf dan golongan kurang berkemampuan diijab kabul dalam satu Program Nikah Beramai-Ramai ‘Sakinah Mawaddah Warahmah’ di Masjid Al Syifa’ Bandar Penawar, semalam.

Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang, Bukhari Abd Rahman berkata, ia julung kali dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Kadi Daerah Kota Tinggi dan juga Masjid Al-Syifa’ Bandar penawar.

“Seramai 10 pasangan selamat diijab kabul di mana keseluruhan program ini tajaan PBT Pengerang untuk golongan asnaf. Setiap pasangan kita beri peruntukan sebanyak RM2,000 dan untuk golongan berkemampuan, kita bagi bantuan sebanyak 50 peratus iaitu RM1,000 untuk setiap pasangan.

“Matlamatnya untuk bantu penduduk setempat bagi mempercepatkan urusan majlis perkahwinan dan mudah-mudahan bantuan ini dapat meringankan beban pasangan-pasangan yang terlibat,” katanya.

Bukhari berkata, seperti itu akan teruskan pada tahun depan dengan skala lebih besar melibatkan kerjasama pihak lain melibatkan keseluruhan daerah ini.

Katanya, ini kerana program dianjurkan di masjid berkenaan hanya untuk penduduk sekitar kawasan PBT Pengerang sahaja.

“Selepas ini mungkin kita akan  melibatkan keseluruhan penduduk Kota Tinggi. Untuk peringkat daerah sebenarnya pernah diadakan begitu di peringkat negeri sebelum pernah ada tapi lama dahulu.

“Jadi untuk peringkat daerah, kita cuba wujudkan balik dan mudah-mudahan usaha kita ini dapat dihargai oleh mereka yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Ahli Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Noh Gadut yang menikahkan pasangan terlibat. Hadir sama, Kadi Daerah Kota Tinggi, Suhaimi Rebu.

Kesemua pasangan turut diarak dengan paluan kompang sebelum bersanding di pelamin seterusnya acara makan damai.