Now Playing Kisah Tsunami 'membelah' selamatkan masjid Terapun

MESKIPUN kawasan sekitar Masjid Arwan Bab al-Rahman di Palu ini, bagai padang jarak padang tekukur tapi masjid yang dikenali sebagai masjid terapung Palu ini masih utuh.

Jika difikir logik mana mungkin tsunami yang membadai kawasan itu, untuk tidak 'menyapu bersih' struktur bangunan di kawasan-kawasan berkenaan namun itulah, ia menjangkaui pemikiran manusia untuk memikirkan bagaimana masjid itu terselamat daripada badai tsunami.

Inilah  yang dikatakan kebesaran ALLAH. Hanya DIA yang tahu di sebalik kejadian yang berlaku.

Menurut penduduk tempatan Mohd Syukran ada kisah di sebalik keajaiban yang terjadi pada masjid berkenaan.

Katanya antara 'saksi mata' yang melihat bagaimana kejadian itu, mereka menyatakan bahawa tsunami 'membelah' ketika menghampiri kawasan masjid berkenaan.

"Saksi mata berkata masjid itu  tidak dibadai tsunami berkenaan sebaliknya ombak tsunami bergulung-gulung 'membelah' dan tidak sentuh masjid," katanya.

Jelasnya, bagi umat Islam kejadian itu amat menginsafkan.

"Bagi kita ia satu peringatan, apatah lagi kejadian tsunami yang melanda Palu ini terjadi ketika maghrib.

"Dan pada hari kejadian juga masyarakat di kawasan pantai sudah berkumpul untuk menyertai festival Nomoni, tapi tidak berapa kemudian badai tiba akhirnya mereka semua 'bersih disapu' tsunami," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati hampir 100 peratus kawasan bangunan lain di sekitar masjid terapung ini hancur bangunannya.

Masjid terapung ini kelihatannya hanya satu-satunya bangunan yang masih kukuh di kawasan berkenaan.

Dan sejak tular mengenai kisah masjid itu terselamat di media sosial, kelihatan ramai orang yang datang untuk melihat sendiri keutuhan masjid berkenaan.

Sementara itu menurut orang ramai yang ditemui berkata, kisah masjid terapung ini mengingatkan mereka tentang masjid di Aceh yang juga terselamat daripada 'diterkam' badai tsunami pada 2004 lalu.

Masjid yang berada di Pantai Talise ini ternyata kini menjadi salah satu ikon Kota Palu.

Sinar Harian kini bersama NGO Serantau Muslim menggerakkan misi bantuan  kemanusiaan ke kota Palu, Sulawesi Indonesia

Misi bantuan yang berangkat pada Jumaat lalu akan berada di Palu sehingga 20 Oktober untuk menghulurkan bantuan.

Kota Palu yang digegarkan dengan gempa berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda bandar iu, pada 28 September lalu telah mengakibatkan ribuan nyawa terkorban.

Difahamkan di sebahagian Kota Palu memperlihatkan kesukaran hidup yang dihadapi penghuninya selepas kejadian berkenaan.

Jadi sekiranya orang ramai yang ingin turut membantu sumbangan  boleh disalurkan ke akaun Maybank 564276529068 Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Komen
Berita Terkini