KETIKA tiba di bangsal sebuah kolam ikan, dia terlihat seorang tua duduk di persekitarannya yang kotor dengan najis sendiri dalam keadaan amat menyedihkan.

Tergamak seorang anak membuang ibu uzur tinggal berseorangan yang sudahlah buta, malah lumpuh dengan tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengisi perut sehingga terpaksa makan najis sendiri!

Melihat keadaan warga emas itu, dia mengambil inisiatif membersihkan sendiri tubuh ibu malang itu dan menyelesaikan urusan menghantarnya ke rumah kebajikan, sehinggalah tidak lama selepas itu wanita malang itu menghembuskan nafas terakhir.  

Detik itu jadi permulaan buat Pengarah Urusan dan Pengasas KU2 Hair Care (Malaysia) Sdn Bhd, Hayatie Abd Aziz, 42, lebih aktif dalam menjalankan kegiatan amal melibatkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya sejak tiga tahun lalu.  

"Asalnya bila saya dah sibuk kerja, jadi rasa nak buat benda baru. Jumpa pula kes ibu dibuang anak ini hasil aduan penduduk. Seronok dapat bantu ibu tua itu sebelum dia meninggal dunia.

"Bila dah buat kerja amal macam tu, lepas tu rasa terpanggil nak jalankan ia secara berterusan.  Rasa ALLAH lorongkan, lepas tu rasa mudah setiap kali ada benda nak buat. Rasa ramai lagi mereka perlu dibantu," katanya.

Sehingga kini, dengan produk ubat kutu, Kapten Kutu keluaran syarikatnya, Hayatie bukan sahaja memberikan bantuan kepada golongan memerlukan di kawasan bandar, malah di kampung sehingga ke pedalaman termasuk perkampungan Orang Asli.

"Biasanya bila pergi kawasan pedalaman memang ada masalah kutu, mungkin sebab kurang ilmu berkenaan kebersihan diri dari hujung rambut sampai hujung kaki.

"Dari situ timbul idea untuk buat program Rambut Elok Minda Otak Sihat (Remos). Dengan program itu, bukan setakat jual produk, tapi kita bawa produk ke kawasan pedalaman buat program dan bagi kesedaran kepada anak-anak ini dan ibu bapa sekali yang tak berkemampuan nak pergi ke bandar, mahupun potong rambut," katanya.

 

Program bersama

Bergerak mencari dana dengan menjalankan program bantuan bersama pihak berkaitan, Hayatie banyak bekerjasama dengan badan seperti Yayasan Bina Islam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Kebajikan Anak Pahang.

Buat masa ini, ibu kepada dua cahaya mata ini sedang sibuk sebagai Tenaga Pengajar program Azam Bandar di mana membantu golongan berpendapatan rendah daripada program E-Kasih.

"Untuk program Azam Bandar ni, kita bantu dengan konsep dari zero to hero, saya suka kerja macam tu. Dah ramai dibantu sejak program mula tahun lepas, saya jumpa ada banyak juga peserta berjaya, dari tak ada pendapatan, tak ada kedai, kini dah ada.

"Maksudnya bukan hanya bagi wang tunai begitu saja, tapi saya sendiri bagi ilmu dan kemahiran berkaitan dengan rambut. Dengan itu dapat bimbing mereka buat perniagaan. Lepas itu kita akan pantau pula mereka. Program ini libatkan seluruh negara," kata wanita berasal dari Maran, Pahang dan kini tinggal di Klang, Selangor ini.

Terbaharu, dalam program Remos, Hayatie bersama tim ke sebuah pusat kebajikan anak-anak bermasalah di Kg Pandan, ibu negara dan turut mengambil peranan memberikan tunjuk ajar dan nasihat.

Menurutnya, dalam program di bandar juga, pihaknya bukan saja banyak menjalankan program kemahiran dan keusahawanan, tetapi menawarkan khidmat memotong rambut dan rawatan kutu terutama di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Bagi saya isu kebersihan, PPR kurangkan penjagaan ini harus diberikan tumpuan. Justeru kita harap mana-mana badan korporat yang nak buat program CSR ini, boleh bergerak bersama.

"Jangan hanya buat program biasa, back to school... hari raya. Kenapa tidak kita turun padang sekali, kerana saya percaya di PPR masih ramai mereka memerlukan," katanya yang kini hanya banyak bergerak sendiri bersama Yayasan Bina Islam Malaysia dan JKM.

Sebagai ibu tunggal, baginya ia menguatkan lagi semangatnya untuk bergerak dan membantu golongan senasib, asnaf dan anak yatim.

Harapan Hayatie supaya ilmu keusahawanannya dapat dikongsi, selain kerja-kerja amal dijalankan pihaknya setiap bulan akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang. -AG