TIBA-TIBA hendak ke tempat kerja rasa hilang mood, berpeluh walaupun dalam bilik berhawa dingin, rasa takut tak tentu fasal atau enggan berjumpa orang, sentiasa kurang selesa, resah gelisah, takut atau tidur terganggu secara berlarutan?

Apabila emosi-emosi sedemikian dirasakan, ia bermakna kesihatan mental kita sedang terganggu, malah sekiranya simptom-simptom itu tidak dikawal, boleh mendorong kepada penyakit mental.

Jika ada ciri-ciri itu, orang sekeliling perlu memaklumkan perubahan berkenaan kepada mereka terlibat lebih-lebih lagi sekiranya mereka terdiri daripada ahli keluarga mahupun rakan terdekat.

Presiden & Pengasas, Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa), Anita Abu Bakar berkata, penting untuk orang terdekat memaklumkan gejala itu kerana sukar untuk seseorang melihat dirinya sendiri berdepan simptom sedemikian.

“Susah kita dapat lihat diri sendiri ‘sakit’, nak sedar mungkin ambil masa lama. Jadi lebih baik, kalau orang sekeliling bantu untuk memberitahu. Mereka perlu jujur, kalau nampak pelik beritahu.

“Selalunya orang hanya cap kemurungan sebagai ‘mental’, sebab perkataan murung itu sendiri, kita pakai secara longgar,” katanya ketika menjadi tetamu panel dalam Sinar Live - Cakna Sinar, bertajuk ‘Tekanan hidup & sakit mental’, di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, baru-baru ini.

Tekanan untuk memperbaiki taraf pendapatan bagi menyara hidup, dalam masa sama menguruskan anak dan keluarga, ditambah pelbagai cabaran sekeliling, dikatakan punca utama tekanan hingga menimbulkan gangguan mental.

Memberi komen terhadap isu akhir-akhir ini banyak kes hendak bunuh diri dan kes-kes berkait kesihatan mental, Anita tidak menafikan tekanan sosio ekonomi antara sebab utama permasalahan berlaku.

 

Sama sakit fizikal

Diminta mengulas sejauh mana bahayanya penyakit mental ini, Anita berharap masyarakat memahami bahawa penyakit mental sebagaimana penyakit fizikal.

Menurutnya, ia bukan kelemahan atau sesuatu yang patut dimalukan, bahkan ia adalah penyakit yang memerlukan rawatan dan bantuan.

“Apabila seseorang pesakit tidak nampak jalan keluar, ia putus harap hingga ada keinginan untuk mati. Selalunya keinginan ini bila orang sekeliling tidak membantu atau berikan sokongan dengan baik.

“Masalahnya bila dia meluahkan atau mengekspresikan rasa apa dia fikir, masyarakat atau ahli keluarga terus menghukum, contohnya, cakap ‘sebab tak solat’, ‘kurang iman’ dan sebagainya tanpa memahami apa pesakit itu rasa,” katanya.

Menurutnya, sikap tidak mengendahkan pesakit menyebabkan lama-kelamaan pesakit itu sendiri akan mendiamkan diri kerana berasa tidak dibantu dan tidak mendapat sokongan sehingga mula menyendiri.

Katanya, dari situ pesakit akan mula berasa putus harap, tidak nampak jalan keluar dan bermulanya bisikan-bisikan daripada syaitan.

“Bila itu berlaku, yang ada keinginan untuk mati apabila masyarakat tidak membantu. Kita sebenarnya sebahagian daripada mereka perlu dipersalahkan apabila seseorang putus asa, walaupun bukan ahli keluarga.

“Kita tak ada ilmu tapi menghukum. Contoh seorang ibu yang membunuh anak baru-baru ini, masyarakat tak faham tapi menghukum dia membunuh. Ini contoh ada sakit mental, tapi tak mendapatkan rawatan, jadi berlaku halusinasi dan delusi. Dia sebenarnya dalam keadaan tidak sedar.

“Ini pentingnya peranan pelbagai pihak untuk memahami. Jika tidak kesannya semua akan menjadi mangsa,” katanya.

 

‘Jangan cepat menghukum’

Secara global, mengikut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hampir sejuta orang membunuh diri setiap tahun, di mana 90 peratus daripada jumlah ini disebabkan oleh masalah kemurungan, serta penyalahgunaan dadah dan alkohol.

Itu kongsi Anita. Agak tinggi angka itu bukan?

Perkongsian di laman web Miasa pula, menunjukkan statistik dari WHO mendedahkan daripada satu juta orang mati akibat bunuh diri itu, iaitu seorang maut setiap 40 saat, diramalkan menjelang tahun 2020, kadar bunuh diri akan meningkat kepada satu kematian setiap 20 saat.

Bunuh diri adalah tiga penyebab utama kematian, selepas penyakit jantung dan kanser. Kemurungan dan penyalahgunaan bahan dadah pula menyumbang kepada lebih daripada 90 peratus kes bunuh diri.

Dalam pada itu Anita berkata, statistik sama bagi Malaysia tidak dimaklumkan, menyebabkan jumlah tepat belum ada didedahkan lagi.

Menurutnya, bagaimanapun buat masa ini terdapat kerjasama dengan Kementerian Kesihatan, di mana sekiranya berlaku kes-kes begini, data dikumpulkan untuk memusatkan pendaftaran.

Mengulas mereka berisiko untuk mendapat penyakit mental, Anita berkata, terdapat banyak kumpulan usia dengan paling ramai di Malaysia melibatkan remaja yang mengalami gangguan atau masalah kesihatan mental merangkumi lingkungan usia 16 hingga 19 tahun seramai 34 peratus.

“Kedua, dalam golongan ibu, masyarakat kita panggil meroyan- postpartum blues (murung lepas bersalin dalam masa 2 minggu); postpartum depression (lepas bersalin- meroyan) - yang ini saja 10 peratus, besar sebenarnya jumlahnya.

“Kita panggil meroyan, tapi sebenarnya ia adalah penyakit. Ketiga, postpartum psychosis (berlaku lepas bersalin tapi, ada halusinasi dan delusi) ini berlaku kes bila ibu membunuh anak,” katanya.

Menurutnya, selain itu seseorang mudah mendapat sakit mental mungkin disebabkan trauma dari kecil, seperti kena buli, rogol, melalui zaman kanak-kanak yang traumatik apabila ada penderaan mental dan fizikal, yang juga cenderung mendapat sakit mental.

Anita tidak menafikan ada terlibat terdiri daripada mereka yang miskin kadar tinggi, mungkin tidak bekerja, mempunyai masalah kewangan, menyebabkan seseorang itu mendapat sakit kebimbangan peringkat tinggi, hingga kemurungan melampau yang boleh menyebabkan gangguan sakit mental.

Dalam pada itu, menurutnya golongan terlibat masalah kesihatan mental juga melibatkan usia 20 hingga 24 tahun, sebanyak 32 peratus.

“Penyalahgunaan dadah pelbagai jenis boleh jadi punca. Misalnya 15-20 peratus yang ambil pun boleh sebabkan halusinasi atau kesan sampingan walaupun selepas 10 tahun. Sama dengan mereka mengambil dadah keras,” katanya.

 

Jumpa pakar

Bagi menentukan sama ada seseorang itu mempunyai penyakit, Anita menyarankan supaya berjumpa pakar psikiatri, dan selepas diagnosis serta sekiranya positif barulah proses penyembuhan bermula.

Menurutnya paling mudah dengan ke klinik kesihatan berhampiran untuk membuat ujian saringan mental, sebelum dirujuk kepada pakar berkaitan.

“Harapan saya sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia ramai prihatin dan ambil tahu, tambahkan ilmu tentang penyakit dan kesihatan mental, supaya kita sebagai masyarakat, ahli keluarga, penjaga dan rakan dapat membantu mereka yang ada penyakit mental ini dengan lebih baik.

“Maknanya kita jangan cepat menghukum, kita jadi pendengar yang baik dan banyak bersabar apabila membantu orang sakit mental kerana proses penyembuhan golongan ini mengambil masa agak lama. Tapi di situ sakit ini bukan saja untuk pesakit tapi, ia ujian untuk semua,” katanya.

Menurutnya, apabila ada pengetahuan dan ilmu dapat mengurangkan stigma sedia ada kerana rata-rata masyarakat hanya melabelkan sakit ini dengan ‘gila’, ‘kurang siuman’, ‘berbahaya’, ‘kurang iman’, ‘mengada-ngada’, ‘tidak boleh bekerja’ dan sebagainya.

Katanya apabila stigma dapat dikurangkan, ia juga memudahkan pesakit itu sendiri kembali kepada masyarakat lebih yakin.

“Kita mudah terima orang OKU fizikal, kenapa kita susah terima orang OKU mental. Dengan ada ilmu, ada sokongan dan tahu cara lebih baik untuk membantu, ia kurangkan stigma.

“Pada yang masih bertarung sakit berkaitan mental, teruskan perjuangan dan kuatkan semangat. Saling membantu dan mendoakan insya-Allah,” katanya.

Berkongsi tip pemulihan menurutnya selain kembali kepada-Nya, senaman, tidur cukup, pemakanan sihat, dan membuat perkara digemari antara penyelesaian holistik selain ubat dan terapi.

Menurutnya, Miasa sendiri membuat program kesedaran dan memberi sokongan kepada pesakit dan penjaga untuk melalui proses penyembuhan dengan lebih baik.-AG