PRIHATIN dengan nasib generasi pewaris masa depan negara, Persatuan Kemajuan Wanita Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (Puspa), memberikan tumpuan membantu murid dan pelajar sekolah dalam kalangan golongan memerlukan.

Presiden Puspa, Prof Datin Dr Rahimah Ahmad berkata, atas niat itu, Puspa mengatur kegiatan program anak angkat, iaitu bantuan dalam bentuk bantuan kewangan, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kelantan.

“Program Anak Angkat Puspa melibatkan murid dan pelajar sekolah rendah, sehingga tingkatan lima. Tahun ini kurang sedikit sebab kumpulan pertama ramai dah berhenti.

“Kalau nak sampai 200 anak angkat pun boleh, tapi kami belum mampu lagi mengendalikan seramai itu. Paling maksimum setakat ini seramai 100 anak angkat saja,” katanya, semasa program anjuran Puspa, di ibu negara, baru-baru ini.

Menurutnya, setakat ini sudah hampir RM1 juta disalurkan kepada anak-anak angkat di Kelantan dengan kewangan dikreditkan terus ke akaun murid dan pelajar berkenaan.

Rahimah berkata, bantuan kewangan berkenaan adalah daripada ibu bapa angkat terlibat yang diagihkan Puspa.

Menurutnya, Puspa juga organisasi bersifat silaturahim, membantu dan membangunkan Kelantan khususnya melalui anak-anak sekolah, kerana percaya bantuan peringkat awal ini akan memberikan manfaat pada golongan yang berkeperluan di Kelantan.

“Program pembangunan insan diadakan setahun sekali di mana akan menghimpunkan anak-anak angkat Puspa dan memberi bengkel biasanya selama tiga hari dua malam melalui pengendalinya ahli jawatankuasa Puspa dengan beberapa orang jemputan khas,” katanya.

 

Bincang isu semasa

Puspa diwujudkan hasil cetusan idea pengasas juga Penasihat Puspa, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim bukan saja  untuk mengumpulkan wanita-wanita Kelantan yang bermastautin di Kuala Lumpur dan Selangor, malah segala aktiviti ditujukan kepada kemajuan Kelantan.

Selain program anak angkat, Puspa juga aktif mengadakan program berbentuk Syarahan Kijang Kencana kini masuk kali ke-6.

“Syarahan Kijang Kencana selain merealisasikan tujuan kegiatan bersifat silaturahim, siri ini juga mengetengahkan perbincangan isu-isu semasa negara.

“Bila Prof Nik jadi penaung Puspa ada juga berbau akademik. Misalnya dalam program kita utamakan penggunaan bahasa Melayu selain Puspa juga menerbitkan bahan-bahan boleh memperkenalkan Kelantan, kegiatan ekonomi, budaya dan wanita Kelantan. Setakat ini Puspa telah menerbitkan buku biografi wanita Kelantan yang dirasakan elok diperkenalkan sebagai bahan sejarah,” katanya.

Menurutnya, kini Puspa dalam proses untuk mengumpul jilid kedua biografi, dijangka diterbitkan pada tahun 2019.

Sejak Puspa ditubuhkan, syarahan dan program diadakan bersifat akademik dan sosial serta mencangkupi peranan dan sektor wanita yang menjadi minat seperti herba, perubatan dan lain-lain.

Rahimah berkata, Puspa juga seperti badan NGO lain berusaha memberi bantuan dan sumbangan kepada pihak-pihak tertentu apabila diperlukan.

“Umpamanya selepas banjir besar di Kelantan pada Disember 2014, Puspa berusaha cari dana untuk ringankan beban mangsa banjir dan berjaya derma RM45,000 bagi bina sebuah pondok wakaf, di Kuala Krai.

“Justeru, Puspa mengalu-alukan sumbangan dana mana-mana pihak untuk aktiviti kemasyarakatan terutama bagi membantu anak-anak asnaf dan miskin, sama ada bantuan terus atau menaja anak-anak angkat,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Puspa, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Puspa antara badan NGO wajar dipuji, biarpun tanpa sokongan, tetap menjalankan ikhtiar dan usaha serta mengorbankan masa dan buah fikiran dalam menjalankan kerja kebajikan. -AG