PERSEPSI biasa terhadap anak yatim apabila sentiasa dipandang sebagai mereka yang terpinggir, golongan perlu dikasihani, tiada hala tuju dalam hidup, kurang keyakinan dan hilang harapan untuk menghadapi masa depan.

Ditambah pula budaya masyarakat hanya memberi makanan, pakaian dan wang ringgit selain mengusap rambut anak-anak yatim pada musim-musim perayaan, ia dilihat tidak membantu sepenuhnya golongan itu.

Pengarah Urusan, Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Malaysia (Yatim), Salehhuddin Osman berkata, justeru pihaknya mengambil peranan sebagai badan yang memberi fokus kepada penganjuran program meningkatkan potensi diri dengan unsur akademik, motivasi, kepimpinan dan nilai tambah kepada golongan itu sejak kewujudan Yatim lebih 25 tahun lalu.  

Menurutnya, hingga kini melalui 926 program telah dijalankan dalam tempoh itu, ia dimanfaatkan lebih 75,000 anak-anak yatim berusia 10 hingga 17 tahun dari seluruh Malaysia. Menariknya ia disertai tanpa mengira latar belakang agama daripada kalangan pelbagai kaum!

“Fokus kami terhadap pembangunan diri pelajar yatim dengan memberikan keyakinan pada diri mereka, bahawa mereka juga mampu maju dan berjaya. Cabaran kita untuk tukar set minda mereka bahawa menjadi anak yatim bukan titik noktah.

“Mereka adalah golongan dipilih untuk berdikari lebih awal. Persepsi anak yatim itu sendiri dan masyarakat memandang rendah kemampuan diri, ini ingin kita ubah. Alhamdulillah hingga kini ramai hasil bimbingan Yatim berjaya menjadi profesional seperti doktor, jurutera dan sebagainya,” katanya kepada Cakna Sinar.

Sehingga kini, Yatim mengadakan pelbagai program pendidikan di semua pelosok negeri di Semenanjung, Sarawak dan Sabah dengan purata pengendalian 45 program dan 3,000 peserta setahun.

Salehhuddin berkata, program-program Yatim melalui pelbagai proses penambahbaikan di mana strategi pelaksanaannya terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu Program Pendidikan dan Program Pembangunan.

Yatim diasaskan oleh Datuk Ahmad Sebi Bakar juga adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah. Sejak dilancarkan pada 1992 sehingga sekarang ini, Yatim dinaungi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin sebagai Penasihat.

 

Strategi program

Strategi dan Program Pendidikan Yatim, Opening Young Eyes (Oyes) terdiri daripada Seminar Oyes Akademik: UPSR/ PT3; Seminar Oyes Pengajian Tinggi/Kemahiran: Konsep seminar/ lawatan ke institusi pengajian tinggi/ kemahiran; Seminar Oyes Hala Tuju/ kerjaya lepasan SPM; Kem Opening Oyes/ Motivasi Pendidikan/ Kaizen/ Hijaratul Hasanah dan Bengkel Kecemerlangan Akademik UPSR/ PT3/ SPM.  

Manakala strategi dan Program Pembangunan Yatim (High Impact Learning) pula merangkumi program yang mengambil kira aspek pembangunan menyeluruh dan perkhidmatan susulan boleh diberikan kepada anak yatim.

Salehhuddin berkata, dalam Program Pembangunan Yatim inilah memerlukan pembabitan dan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, swasta dan orang perseorangan (awam).

“Program ini unik dan khusus yang memerlukan peruntukan dan gerak kerja komprehensif bagi melaksanakannya. Antaranya program Leadership Excellence and Development Program (Lead) dengan pembabitan anak-anak yatim dari sekolah berasrama penuh (SBP) di mana program ini berjalan selama dua tahun.

“Program Holistic Potential Enhancement (Hope) membabitkan anak-anak yatim pencapaian sederhana, dalam program selama dua setengah tahun; selain program Bahasa Inggeris Komunikasi; Kelas Bahasa Mandarin Komunikasi; Latihan Sukarelawan; Penempatan Latihan Kemahiran dan Pembangunan Modul Latihan dan Program,” katanya.

Menurutnya, hasrat pihaknya dapat mewujudkan rangkaian baru bagi penganjuran program-program Yatim secara perkongsian bijak dengan badan-badan kerajaan, NGO dan swasta.

Selain itu juga, Yatim berharap dapat mempelbagaikan program merangkumi pendidikan akademik, kemahiran, bahasa, kerjaya dan industri dalam mendidik dan mengasuh bakat kepemimpinan di kalangan anak yatim.

Sebarang maklumat lanjut boleh ke alamat Yatim di Wisma Synergy, 72, Pesiaran Jubli Perak, Seksyen 22, Shah Alam; email, yatimmalaysia@gmail.com atau Facebook, www.facebook.com/yatimmalaysia.           -AG

 

 

Penaung:

Tun Dr Mahathir Mohamad

Penasihat:

Tun Daim Zainuddin

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah:

Datuk Ahmad Sebi Bakar

Timb Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah:

Abdul Azim Mohd Aras

Ahli Lembaga Pemegang Amanah:

Datuk A Kadir Jasin

Datuk Lim Poh Ho

Lim Hong Liang