MASIH belum terlewat untuk mengucapkan selamat Hari Malaysia yang disambut Ahad lalu.

Dalam situasi semasa kini, ramai menagih supaya berlaku perubahan lebih baik untuk negara dan pengharapan itu sudah tentulah terarah terhadap pemimpin.

Buktinya rakyat menunjukkan kuasanya dalam pemilihan barisan kepimpinan baharu PRU14 lalu.

Sempena Hari Kerja Amal Antarabangsa disambut baru-baru ini iaitu pada 5 September lalu, Cakna Sinar mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut hari tersebut terutama kepada badan-badan NGO dan mereka yang cakna kebajikan masyarakat.

Menyentuh soal pemimpin, sudah tentu mereka mahu memegang tampuk pemerintah juga bermatlamat membuat kerja amal berjuang demi kepentingan rakyat dan negara.

Namun dengan pelbagai isu diketengahkan berkait pemimpin... ikhlaskah ‘amal’ mereka ini. Sejauh mana benar-benar telus seperti dilaung-laungkan?

Berkongsi pandangan, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, jika melihat situasi semasa, belum terbukti keikhlasan kalangan pemimpin buat masa ini.   

“Amnya, kalau dilihat mana-mana parti pun lebih sibuk soal politik daripada kehidupan rakyat. Contoh banyak isu kesusahan masyarakat belum selesai, seperti tak ambil tahu hal sekeliling.

“Dalam keadaan ramai rakyat belum terbela, masih ada pembaziran dilakukan, misalnya untuk adakan pilihanraya kecil walaupun dalam keadaan tak perlu pun nak buat,” katanya ketika diminta mengulas pandangan aktivis Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi, supaya pemimpin menumpukan tugas membela rakyat berbanding kepentingan politik dan peribadi.

 

Tunjuk perubahan

Tidak menafikan ramai pihak melihat keterlibatan dalam politik sebagai satu kerjaya, Iskandar berkata, hanya segelintir yang cakna, mahu memimpin disebabkan niat membela rakyat.  

Menekankan keperluan mewujudkan dikotomi, iaitu pemisahan antara kepentingan peribadi dan politik, katanya perlu mereka sudah memegang jawatan pemimpin negara tidak boleh membuat kepentingan peribadi.

“Pemimpin jalankan perniagaan misalnya juga timbul konflik kepentingan antara tugasan awam dan peribadi. Kalau di Thailand, pemimpin terlibat perniagaan tidak dibenarkan berpolitik. Jika tidak mereka boleh dipecat.

“Seperti dua bekas Perdana Menteri Thaksin dan Yingluck Shinawatra, mereka terlibat perniagaan dan ada konflik kepentingan, sebab itu tentera rampas kuasa. Maknanya pemimpin perlu fokus jawatan politik dipegang,” katanya.

Mengulas dikotomi, menurutnya dunia politik Malaysia hari ini hanya menganggap salah guna kuasa dan wang adalah rasuah, sedangkan ilmuwan politik pentadbiran kerajaan melihatnya sebahagian daripada ketidakintegritian kebertanggungjawaban sebagai ahli badan eksekutif kerajaan.

Katanya, disebabkan itu, Woodraw Wilson mengemukakan perkataan dikotomi dalam politik pentadbiran kerajaan khususnya dalam badan eksekutif bermaksud pemisahan antara kepentingan politik dan pentadbir awam.

“Ini disebabkan ahli politik terpilih dalam Dewan Rakyat seorang ahli badan legislatif atau perundangan yang juga pembuat dasar kerajaan. Pada masa sama, ahli politik tersebut seorang partisan yang bakal dilantik dalam badan eksekutif atau pemerintah jika parti dianggotainya menerajui kerajaan pemerintah.

“Akibatnya wujud dwi fungsi dalam kedua-dua badan kerajaan mempunyai kuasa tidak terbatas sebagai pembuat dasar. Tetapi juga pelaksana dasar. Di atas pemegang kedua-dua kuasa ini menyebabkan ahli politik atau partisan boleh melanggari kepentingan awam dengan mengutamakan agenda kepentingan peribadi,” katanya.

Menurutnya, situasi ini menyebabkan partisan boleh menggunakan kedudukannya untuk tujuan tertentu tanpa mendapat habuan material atau wang.

Iskandar berkata, ini boleh dilihat seperti arahan kepada pihak pelaksana untuk melakukan sesuatu matlamat peribadi dengan menggunakan di sebalik kedudukannya dalam kedua-dua badan iaitu legislatif dan eksekutif.

Menurutnya, harus wujud garis pemisah kuasa atau dikotomi politik pentadbiran di antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman agar kewibawaan non-partisan atau neutraliti pentadbiran awam dikekalkan demi kepentingan awam.

Ya tak ya, tiada makna ‘Malaysia baru’ kalau tidak tunjuk perubahan.  

 

Benarkah berjuang demi rakyat? 

“Sedih isu dan senario semasa di negara kita, golongan di bawah dan pemerhati bergaduh hampir setiap hari soal politik. Pemimpin sedar tak itu berlaku hari ini?,”.

Itu luahan aktivis Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi, 29, yang berharap wakil pemimpin mengurangkan ‘pergaduhan’ politik sebaliknya menumpukan usaha menyelesaikan isu negara dan rakyat.

Menurutnya, perkara paling membimbangkan apabila pengguna hanya sibuk menular fitnah di media maya selalunya berkaitan politik, saling menghentam menggunakan perkataan kesat.

“Mereka di bawah ini buat ‘dosa kering’ kerana taasub dengan pemimpin parti. Kena ubah mind set, terima siapa perintah hari ini. Kalau rasa tak setuju, lima tahun lagi kita undilah mana kita nak undi.

“Hari ini hentilah seketika bergaduh. Hentikan fitnah, beri nasihat dan teguran berfakta,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu jemputan Sinar Live Cakna bertajuk ‘NGO Payung Warga Asing’, di Pejabat Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, baru-baru ini .

Mengulas berhubung isu warga asing, menurutnya itu juga antara isu hangat memerlukan perhatian pemimpin.  

Tidak menafikan ramai hari ini dilihat berpolitik untuk kepentingan sendiri, Yusuf berkata, jika benar pemimpin negara, NGO dan pemimpin masyarakat berhasrat membangunkan negara dan rakyat, mereka perlulah hidup dengan wadah perjuangan sebenar.

“Lihat dari sudut hati rakyat yang derita nak melengkapi keperluan dapur, orang kaya bertambah kaya dan miskin bertambah miskin.

“Kalau anda benar-benar ingin jadi pemimpin fahami derita rakyat, infakkanlah 90 peratus daripada harta kalian untuk rakyat. Anda pilih untuk jadi pemimpin, bukan ahli perniagaan.  Kalau pilih jadi ahli perniagaan, mahu kumpul harta sebanyak manapun, itu dah lumrah ahli perniagaan. Tapi kalau pilih jadi pemimpin dan masuk wadah perjuangan membela rakyat, harus rasai apa dilalui rakyat,” tegasnya.

Menekankan infak dimaksudkannya, menurutnya, pemimpin terbabit harus melihat sendiri aset simpanan peribadi dikumpulkan.

Yusuf menyarankan membanding aset ada selepas ditolak komitmen, dengan melihat berapa banyak baki di dalamnya telah diperuntukkan untuk rakyat.

“Fahami sedalamnya antara pemimpin rakyat dan jadi ahli perniagaan. Dua haluan dan tujuan berbeza. Bukankah kata ramai rakyat Malaysia menderita... kita tengok saja? Takkan kita hanya bercakap gaji RM1k-1.5k itu cukup.

“Harapan saya pemimpin kita mampu pimpin dan bentuk negara dengan hidup penuh kasih sayang,” katanya.  

 

Nampak rakus

Presiden Persatuan Mahasiswa Sejarah, Politik dan Strategi (Pesepsi), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Danial Azraei Kamarul Husni, 21, pula menyifatkan sukar bertemu wakil pemimpin benar-benar berjuang demi rakyat.

Menurutnya, kebanyakannya terdiri daripada golongan elit, menyebabkan mereka kurang memahami situasi sebenar kesusahan golongan teknokrat dan bawahan.

"Walaupun kata cakna dan hiraukan kita, sebaliknya tak pernah hidup sebagaimana marhaen. Ada amalkan unsur-unsur sosialis, tapi banyak kritikan-kritikan negatif. Baik tu ada tapi tak nampak dengan jelas.

"Kebanyakan jadi pemimpin untuk kepentingan sendiri, mahu jawatan, tender-tender kerajaan. Sekarang ada pula berjuang kenaikan gaji menteri dan sebagainya di saat negara dikatakan berhutang beratus bilion, nampak rakusnya orang di atas," katanya.

Bersetuju dengan Yusuf supaya pemimpin tidak berjuang untuk kepentingan diri, cadangnya perundangan baharu seperti ahli politik tidak boleh terlibat perniagaan perlu ditetapkan, bagi mengurangkan konflik kepentingan diri.

Azraei berkata, ini disebabkan biasanya apabila terlibat politik, lebih mudah akses peluang perniagaan dan kepentingan peribadi serta tidak mustahil memanfaatkan jawatan bag kelebihan tertentu.

"Patut syarat jadi ahli politik mesti bersih dari perniagaan. Orang politik dah sedia ada berniaga sebelum jadi pemimpin? Kata reformasi atau perubahan..  jadi memang perlu berdepan benda agak 'sakit'.

"Itulah titik permulaan. Kalau kata semua ahli politik dah berniaga sampai bila-bila kita boleh berada dalam dunia korup. Perlu ada permulaan pastikan kuat kuasa syarat jadi pemimpin 100 peratus, sebab ini diperjuangkan parti politik tertentu untuk bentuk semula institusi dan sebagainya.  Tapi kalau sama saja dengan kerajaan dulu, tiada perbezaan pun sebenarnya," katanya.  

Mengulas maksud pemimpin cakna baginya, menurutnya ia seringkas apa diberi rakyat dalam bentuk cukai itu dipulangkan semula pada rakyat, melalui pengurusan kerajaan yang baik dan tiada salah guna kuasa. -AG

 

 

REAKSI

"Sebagai NGO perjuang kebajikan, kami harap beri perhatian pada golongan B40 iaitu berpendapatan rendah dan pastikan hak-hak kesucian agama Islam dipertahankan. Harap pemimpin serius hal masyarakat seperti isu kemiskinan, sosial dan pendidikan. Semua pihak mahu yang terbaik dari pimpinan sekarang."

- Pengarah Nisa' Malaysia, Wan Nur Syahirah Wan Mohamed Sabri

 

"Patutnya langsung tak boleh jalankan perniagaan. Kadang sebab tak boleh niaga, ada guna ahli keluarga dan jadi proksi pada orang politik. Sebab itu orang politik ini terutama ada jawatan, mesti bertanggungjawab, terutama menteri dan orang kelilingnya, mesti tak ada kaitan dengan berniaga. Ini perlu diawasi, aset perlu isytihar harta sebelum pegang jawatan."  

- Presiden Pertubuhan Gerakan Mertabat Pejuang Negara Malaysia (GMPN), Mej B Razali Zakaria    

 

"Bukan hanya manusia, perlu juga jaga kebajikan haiwan melata supaya semua mendapat rahmat. Salur bantuan pada aktivis haiwan yang buat kerja sangat murni. Moga pemimpin buka mata isu berkaitan haiwan."

- Pengasas Persatuan Halfway Home For Furly Strays, Datin Surayati Othman