GEMAR memerhati suasana politik  negara, menyebabkan anak muda ini gemar menulis perkembangan isu berkaitan.

Berasal dari Jelawat, Bachok, Kelantan, pemuda yang juga graduan Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah ini aktif menulis sejak tahun lalu dengan kebanyakan tulisannya berkaitan politik disiarkan di akhbar-akhbar tempatan.

Bagi Muhammad Nazli Ismail, 29, keperluan berkongsi isu berkaitan penting selain menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat menyumbang sesuatu untuk masyarakat.

Antara terbaharu mendapat perhatiannya isu saban minggu didedahkan mengenai kegiatan penyelewengan melibatkan pegawai perkhidmatan.

“Bukan saja bawahan, pegawai punyai kedudukan tinggi dalam kerajaan turut dikaitkan isu rasuah.

"Lebih mengecewakan semakin tinggi kedudukan dan jawatan individu dalam organisasi, makin banyak jumlah rasuah diambil, manakala kes pecah amanah menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan masyarakat," katanya  

Bagaimanapun, Nazli berkata, kerajaan baharu juga tegas dan aktif mengambil tindakan.

 

Tak capai objektif

Mengulas permasalahan rasuah, Nazli menyifatkan impaknya sangat besar pada proses pembangunan negara dan masyarakat, malah berleluasanya isu ini menyebabkan dasar dirangka dan dilaksanakan kerajaan tidak mencapai objektif diharapkan.

“Pendidikan elemen penting menyumbang kesejahteraan masyarakat. Oleh itu, pendidikan mampu membentuk kesedaran dan kefahaman masyarakat bangkit menolak budaya rasuah.

“Harus disedari sikap masyarakat turut menyumbang berlaku pecah amanah,” katanya yang berharap pendedahan berkaitan oleh media menjadi pengajaran berguna kepada pegawai awam.

Menurutnya, rakyat tentu sekali wajar berasa bimbang sekiranya kerajaan gagal mencari jalan tuntas mengatasi isu melibatkan pegawai awam.

Katanya, justeru langkah berkaitan perlu diambil terlibat segera.

“Menulis dan membaca platform penting ubah pemikiran dan sikap lebih baik. Mahasiswa misalnya boleh tonjol bakat dan kredibiliti menyumbang idea, pandangan dan pengetahuan pada masyarakat serta negara.

“Bagi saya menulis kepuasan diri. Saya ingin tunjuk dan buktikan, orang muda ada semangat patriotik turut ingin beri sumbangan pada negara melalui kaedah penulisan,” kata anak kelima dari tujuh beradik gemar membaca, menghadiri forum, ceramah dan bersukan ini.   

Dia yang turut aktif sebagai sukarelawan Kindness Malaysia berhasrat menulis sampai bila-bila, kerana baginya ilmu perlu disebarkan kepada masyarakat.