BAYANGKAN seekor kucing  bunting, mulanya hanya menumpang teduh tanpa mengganggu sesiapa, namun tidak semena-mena diangkat dan dimasukkan ke dalam mesin pengering baju di sebuah kedai dobi.

Malah ketika berbuat demikian, boleh pula pelakunya yang juga orang dewasa sepatutnya sudah berfikiran matang, memasukkan syiling supaya alat tersebut beroperasi, malah ketawa riang melakukan perkara tersebut tanpa sedikit pun rasa simpati.

Tiada langsung hati perut melihat kucing malang itu kepanasan, menjerit malah menguis untuk keluar dari mesin berpusing laju, hingga tak lama selepas itu nyawanya tercabut dalam keadaan berdarah dan menyayat hati.

Apa berlaku di sebuah kedai dobi di Gombak itu satu daripada banyak lagi kejadian  tragis menimpa haiwan, menunjukkan betapa kejamnya perilaku manusia terhadap makhluk tersebut.

Sempena Bulan Kebajikan Negara dari 10 September hingga 1 Oktober ini, haruslah nilai-nilai kemanusiaan ini diberikan perhatian sekali pun terhadap haiwan bagi mendidik jiwa insan.

Kebetulan penulis baru menemuramah mengenai kebajikan haiwan, tak sampai beberapa hari  berlaku kes meruntun hati ramai rakyat Malaysia itu.

Pengasas Persatuan Halfway Home For Furly Strays (HHFFS), Datin Surayati Othman mengakui perjuangan untuk menyedarkan masyarakat berhubung kebajikan haiwan lebih sukar.

"Saya sendiri dah 10 tahun membawa misi ini (kebajikan haiwan), perjuangan hakikat yang mempunyai makna tersirat dan tersurat. NGO HHFFS ini bermula 2014, tetapi sebelum itu lagi kita dah jadi aktivis dalam Persatuan Silaturahim menyatupadukan dan membawa misi kebajikan untuk masyarakat mualaf dan saudara baharu.

"Ramai dalam Silaturahim ini ramai juga ahli untuk HAHFS. Dari pengalaman bertahun bawa misi manusia memang tak mudah, tapi rupanya perjuangan untuk haiwan lagi tak mudah. Perjuang manusia ramai, tapi untuk haiwan... siapa nak bawa? Mereka tak boleh berkata-kata, tapi ia ada kaitan dengan kehidupan manusia," katanya.  

Menurutnya, ada perkaitan perjuangan murni untuk kebajikan haiwan ini dengan nilai kemanusiaan, namun menyoal siapa patut menjalankannya terutama dalam kalangan orang Muslim.

Surayati berkata, pihaknya kerap berjumpa pemimpin bagi menyatakan hasrat menyedarkan masyarakat kita supaya prihatin kepada haiwan melata.

"Sebab Islam agama indah, kita nak ajak masyarakat yang tak tahu dan wajib tahu perjuangan ini dan kita nak bersama-sama membantu penyelamat (sukarelawan) yang benar-benar nak bantu haiwan-haiwan ini untuk hidup.

"Yang sedih haiwan-haiwan ini yang dekat dengan kita, tak berhenti zikir. Di sini peranan kita sedarkan masyarakat bahawa haiwan-haiwan ini adalah tanggungjawab kita juga, walaupun banyak stigma dan ada pelbagai mazhab," katanya.

 

Jumpa wakil pemimpin

Mengulas usaha, menurutnya pihaknya sering berjumpa pemimpin dan mengatur perjumpaan bersama individu dan agensi sehinggalah ke peringkat Perdana Menteri sekarang dan sebelum ini.

Surayati berkata, usaha ini termasuk berjumpa pihak NGO, Jakim dan Jais dengan tujuan membawa misi ihsan untuk haiwan, selari perjuangan fardu kifayah.

"Hingga kini  tiga back pack kita penuh dengan risalah dan dokumen berkaitan misi ini. Tapi ramai tak nampak lagi kepentingannya seiring dengan al-Quran memberi peringatan. Semua hanya beri jawapan 'OK', 'insya-ALLAH'.

"Kita perlukan pertolongan kerajaan sebenarnya, kebajikan haiwan juga tanggungjawab kita bersama.  Kami berharap kerajaan ambil agenda ini sebagai tanggungjawab untuk bantu usaha dijalankan oleh NGO dan aktivis yang rapat di hati kita seperti kucing dan anjing sekalipun monyet yang melata terpaksa makan sampah, dan hampir pupus," katanya.

Menurutnya, perlu juga ada pendedahan berkaitan dalam pendidikan sejak dari sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi.

Percaya agama lain juga mementingkan kebajikan haiwan, Surayati berkata, Islam begitu melindungi hak asasi haiwan dan alam sekitar, justeru mengharapkan kerajaan menguar-uarkan kepentingan pendidikan ini secara serius, dan bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir.

"Buat masa ini belum nampak apa-apa usaha untuk kebajikan haiwan. Yang kita harapkan berikan wang atau tanah untuk bangunkan tempat haiwan, mungkin juga tempat pelancongan.

"Sebagai negara Islam kita boleh beri contoh pada luar negara kita supaya prihatin pada haiwan," katanya.

 

Isu dipandang sebelah mata                

Percaya kebajikan haiwan liar di hutan sudah ada syarikat dan konglomerat besar menaja kebajikannya, namun  tidak nampak perkara sama diusahakan untuk haiwan jalanan.

Surayati berkata, agak menyedihkan sekiranya kerajaan dengan agama rasmi Islam tidak melihat isu ini apalagi pihaknya membawanya dengan mesej daripada al-Quran dan hadis.

“Kita tetap bawa juga isu-isu ini walaupun dipandang sebelah mata oleh pihak dan badan berkenaan. Matlamat kita cuma satu, bawa rahmat sekalian alam. Jika dapat dilakukan, ini juga bermakna kita membawa mesej Islam.

“Mohon lihat juga akta kebajikan haiwan yang bukan islamik dari luar negara. Kalau boleh masukkan akta yang selari islam untuk rahmatan lil’alamin, barulah ia kebajikan sebenarnya,” katanya.

Menurutnya selain kucing, tanggungjawab NGO dan pihak berkenaan menyedarkan manusia akan kebajikan haiwan yang perlu dihormati haknya sebagai haiwan selari kehendak agama.

Surayati berkata, sekali pun dalam Islam terdapat haiwan tidak boleh disentuh, bukan bermakna boleh dizalimi.

Katanya, tugas kerajaan termasuk juga menyediakan menyediakan peruntukan dan tempat penempatan haiwan melata dengan kerjasama syarikat swasta pihak pelaksana pembangunan.

Sementara itu, aktivis HAHFS, Khadijah Abdullah berkata, biasanya kucing terbiar apabila dibuang akibat membiak dan berpenyakit hingga tak dapat dikawal.

“Pada pencinta kucing, bila lihat haiwan macam ni, mereka mula ambil untuk bela. Tapi bila bela, mereka perlukan kos untuk perubatan dan tempat jagaan. Kalau tak timbul isu gangguan.

“Tapi sedih ada sebahagian ditinggalkan di pasar, ada dianiayai, dipotong kaki dan sebagainya. Ada sesetengah pekerja warga asing pula jadikan anjing dan kucing sebagai makanan mereka,” katanya.

Menurutnya, HAHFS mencadangkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara dapat memperuntukkan dengan mengisytiharkan sebahagian tanah untuk haiwan-haiwan terbiar seperti anjing dan kucing ini, di mana pencinta haiwan dapat menjaganya.

Khadijah turut kesal, dalam kes tertentu ada haiwan terpaksa ‘dilupuskan’.

“Persoalan saya, apa dosa haiwan ini hingga nyawa mereka perlu ditamatkan.  Sedangkan Islam banyak mengajar manusia, apakah kita terfikir bahawa mereka juga ada hak untuk hidup,” katanya.

 

Hukum lebih berat

Yang Dipertua Kelab Pencinta Haiwan Upsi, Nur Amali Md Isa turut bersetuju kerajaan ataupun pihak berkuasa mewujudkan tempat atau pusat kebajikan untuk kucing terbiar.

Menurutnya, dengan itu, orang ramai terjumpa kucing terbiar serta tidak mampu menjaganya boleh menghantarnya ke lokasi tersebut.

“Bila ada pusat kucing ini, dana merawat dan menjaga kucing boleh diminta melalui media sosial dan sebagainya. Selain itu, perbanyakkan tenaga pakar mahir menjaga kebajikan haiwan ini misalnya dari sudut kesihatan untuk elak penyakit berjangkit.

“Hal ini perlu diketengahkan kerajaan berikutan kes penganiayaan haiwan terbiar semakin meningkat. Haiwan juga punyai hak sewajarnya untuk kita sebagai manusia memelihara dan melindungi,” katanya.

Amali juga berpendapat pusat kebajikan haiwan boleh dijadikan taman kucing terbiar yang terbuka kepada orang ramai untuk dikunjungi.

Mengulas tragedi kucing dianiaya, menurutnya hukuman tegas seperti penjara atau membayar denda mengikut kesalahan perlu dilakukan, dan pesalah perlu merawat kucing terbiar agar nilai kasih sayang dapat dipupuk dalam diri pesalah itu.

“Hukuman bayaran denda RM5,000 ke atas, makin berat kesalahan makin mahal, dan penjara lima tahun ke atas.

“Harap kerajaan lebih banyak inisiatif, anjurkan kempen kesedaran mengenai kebajikan kucing dan anjing terbiar. Fokuskan lebih kepada kebajikan pemeliharaan kucing dan anjing ini dari segi kesihatan, makanan, tempat tinggal, untuk hak mereka,” katanya.

 

REAKSI

 

"Kucing pun makhluk ALLAH. Dia pun nak tumpang kasih dengan manusia. Kalau bela dengan reda, kata orang rezeki akan bertambah, yang penting bersabar. Sekarang saya bela 23 kucing, 14 daripadanya anak kucing.”

- Pencinta kucing, Siti Zaleha Sarmaji, 61

 

"Harap pihak berkuasa pandang berat juga kebajikan haiwan kerana tugas kita juga untuk menjaganya. Pada yang tidak suka haiwan pun kena ada belas kasihan, jangan dera sesuka hati.”

- Pekerja swasta, Aiman Danial Ghazail, 23

 

"Sebagai manusia apalagi orang dewasa patutnya kita memiliki akal lebih baik daripada haiwan. Apalah kita dapat dengan mendera haiwan? Buat kebaikan untuk makhluk itu kan lebih baik, tak kiralah kucing, anjing dan sebagainya.”

- Pencinta kucing, Zulkifli Mohd Ariffin, 46