"MASIH ada 182 orang lagi belum ditaja untuk projek Sunathon ini. Seorang tajaan dalam RM70 bagi kos ubat-ubatan, sumbangan kepada peserta dan segala kos pengurusan lain. ”

Itu beritahu Pegawai Yayasan Ikhlas, Syafiq Syahmi Sazali yang memaklumkan buat masa ini, pihaknya telah menerima sumbangan tajaan 218 orang peserta Sunathon.

Pertubuhan peduli dan prihatin, Yayasan Ikhlas, akan bergerak ke empat kawasan pedalaman Sarawak bagi mengadakan program Sunathon siri ketiga pada 23 November sehingga 30 November ini.

Kawasan pedalaman akan dikunjungi ialah Pekan Kapit, Pekan Song, Pekan Belaga dan Kampung Sungai Asap.

Program ini dijalankan dengan kerjasama Klinik Kesihatan Kapit & Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) yang akan menjadi tenaga kerja semasa projek Sunathon yang mensasarkan seramai 400 peserta.

Selain dari program berkhatan, program pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi, program komuniti masyarakat dan pemberian sumbangan kepada keluarga yang memerlukan bersama beberapa NGO di sana dan Jabatan Agama Islam Sarawak.

Pengarah Program Sunathon, Ir Kamaruddin Kassim berkata, program misi bantuan perubatan ini sebenarnya dijalankan setiap bulan oleh Yayasan Ikhlas.

"Cuma program Sunathon dijalankan tiap hujung tahun. Program ini sangat perlu sebab kawasan pedalaman Sarawak tidak ada akses mudah ke klinik-klinik atau hospital-hospital berdekatan serta mempunyai masalah kesihatan memerlukan rawatan segera.

"Pada tahun sebelum ini, yang sertai program sunathon ini bukan hanya orang Islam dan kanak-kanak, tapi orang bukan Islam dan dewasa juga terlibat sekali,” katanya.

Seramai 64 orang terdiri daripada doktor pakar, doktor perubatan, sukarelawan akan turun dalam program Sunathon Sarawak 2018 ini.

Antara tujuan utama penganjuran projek ini adalah untuk memastikan masyarakat pedalaman Sarawak dapat menikmati kualiti hidup baik melalui projek sunathon.

Aktiviti bakal berlangsung adalah pemeriksaan kesihatan dan pemeriksaan gigi secara percuma yang akan dikendalikan oleh doktor pakar yang terlibat. Ditambah lagi dengan aktiviti bersama komuniti iaitu gotong royong, sukaneka kanak-kanak dan penyerahan sumbangan kepada keluarga di kampung terlibat.

Selain memberi perkhidmatan terbaik untuk penduduk di situ, sukarelawan juga dapat beramah mesra dan menyelami kehidupan masyarakat di kawasan tersebut.

Sumbangan dari mereka yang peduli & prihatin akan mereka di kawasan pedalaman Sarawak boleh dihulurkan ke akaun Yayasan Ikhlas (Maybank Islamic : 5628 3463 6228).

Setiap sumbangan layak mendapat pengecualian cukai. Segala pertanyaan atau makluman sumbangan, boleh hubungi talian 0129790211 (Syafiq).