PELBAGAI kemusnahan berlaku selepas Bandar Palu di pulau Sulawesi dilanda gempa bumi kuat dan tsunami, baru-baru ini.

Bayangkan dengan rata-rata lokasi dan kediaman terjejas akibat bencana buruk melanda itu, paling diharapkan mangsa terlibat adalah bantuan berupa keperluan fizikal dan material serta sokongan emosi.

Justeru NGO, Pertubuhan Kulinari Amal Selangor (Merci Culinary) bersama dengan gabungan NGO Pertubuhan Peduli Penyayang Selangor (Peduli Relief) mengajak orang ramai prihatin untuk sama menyumbang, bagi menghantar misi bantuan ke Lombok, Indonesia.

Misi bantuan sukarelawan ini akan berangkat ke kawasan bencana terbabit pada 21 Oktober hingga 26 Oktober ini.

Pengasas Merci Culinary, Cef Aziz Juhari berkata, paling diperlukan pihaknya adalah bantuan menyiapkan barang-barang keperluan memasak untuk mangsa bencana terlibat.

"Kita berharap lebih ramai yang prihatin untuk menyumbang. Sumbangan bukan saja untuk pek makanan, tetapi juga bagi kit kebersihan diri dan dapur lapangan. Ada dua kenduri untuk mangsa-mangsa gempa di kem daerah Sengigi melibatkan kira-kira 700 orang kesemuanya.

"Terima kasih kepada tim Indonesia chef Association (ICA), Cef Santo dan Cef Anton yang sudi membantu kami menyiapkan dapur umum untuk kenduri peduli rakyat nanti dan juga kepada Merci Chefs Malaysia yang sentiasa bersama membantu misi ini," katanya.

Mereka prihatin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun rasmi Pertubuhan Kulinari Amal Selangor, 140 140 1015 4101 (Bank Islam).

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi 012-2850111 (Cef Aziz) atau 012-9053313 (Diana)