KEPENTINGAN kerja-kerja sukarela dan peranannya di dalam membentuk sebuah masyarakat prihatin dan mempunyai sikap kepedulian memang tidak dapat dinafikan.

Tahniah kepada anda yang tergolong kelompok ini, sesungguhnya anda insan terpilih!

Masih belum terlambat kiranya Cakna Sinar mengucapkan selamat Hari Sukarelawan Antarabangsa di mana harinya disambut tiap 5 Disember. Sempena hari bermakna ini, minggu ini kita berkongsi topik penglibatan individu dalam aktiviti kesukarelawan ini.

Apa agaknya mendorong sukarelawan terjebak  kerja-kerja berkait rapat kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) dan apa pulangan diperoleh?

Jika dilihat usaha dijalankan, terutamanya dengan program-program besar, malah ada mempunyai sasaran jangka panjang dalam membantu kelompok memerlukan, ia bukan sesuatu yang mudah.

Pastinya mereka mengetuai atau terlibat dengan kerja-kerja kesukarelawan ini juga bukanlah calang-calang orang.

Bagi Pengasas Buku Jalanan Chow Kit, Siti Rahayu Baharin yang aktif menjalankan kelas agama dan tuisyen untuk komuniti dan kanak-kanak sekitar Chow Kit, ibu negara, biarpun menjadi sukarela, namun dia tidak merasakan diri sebagai sukarelawan.

“Saya tak rasa diri aktivis kerana apa dibuat adalah tanggungjawab. Hati anda kata yang anda perlu lakukan itu, buat dengan rela hati untuk berkongsi kembali dengan masyarakat apa kita ada.

“Bila sudah mula bekerja saya rasa perlu buat sesuatu yang lebih. Saya mula dengan soup kitchen, baru timbul kesedaran dan saya bermula dari situ. Saya rasa kesedaran kesukarelawan itu bermula daripada minat saya yang suka membaca,” katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Teacher Ayu ini.

Dia berkongsi demikian semasa menjadi panel dalam forum Hari Sukarelawan Antarabangsa 2018 bertema ‘Sukarelawan Nadi Pembangunan Masyarakat’ berlangsung di Sekretariat Global Peace Mission Malaysia, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tiga lagi ahli panel dalam forum dikendalikan moderator yang juga wakil Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Nadzirah Zin itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin; Pengasas Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Muhammad Jantan dan sukarelawan yang juga siswa Universiti Sains Islam Malaysia, Salman Yusop.

 

Beri inspirasi

Dalam pada itu, Siti Rahayu menasihati, walaupun mempunyai prinsip, ideologi dan pegangan, sukarelawan cuma mampu menunjukkan jalan bagaimana mengubah hidup mereka hendak dibantu.

Mengakui sukarelawan tidak boleh selamanya membantu, menurutnya disebabkan itu sukarelawan perlu memikirkan apakah jejak boleh ditinggalkan untuk golongan dibantu.

“Kita tak boleh nak ubah hidup orang walaupun melalui kerja sukarelawan itu kita rasa kita boleh bawa perubahan. Misalnya Buku Jalanan nak beri inspirasi pada anak-anak di Chow Kit itu dari segi pendidikan, penjagaan dan kebersihan dalam rumah dan sekitar.

“Tapi ada orang suka membantu ini telah ‘membantutkan’ mereka. Bila tengok ramai orang susah di tepi jalan, kita kesian dan bagi makan.

“Mak saya selalu cakap, jangan bagi ikan, bagi joran. Kalau hanya bagi makanan kita tak bantu mengajar mereka bagaimana hendak mencari makanan. Hanya menunggu makanan, misalnya kalau kotor mereka tak akan bersihkan, sebab tahu lepas tu akan ada pula sukarela lain akan tolong kutip sampah,” katanya.

Menurutnya, justeru untuk menolong sesuatu, perlu buat kajian dan tanya apa yang benar-benar diperlukan oleh orang mahu dibantu.

Menarik kata-kata Cikgu Ayu, ‘memang menjadi sukarelawan tak akan mampu membuat kita kaya raya, namun boleh kaya dalam kasih dan kegembiraan’ diberikan, jika menolong dengan betul.

Sementara itu, Ahmad Fahmi pula berkata, seseorang itu seharusnya konsisten dengan kerja kesukarelawan  dilakukan.

“Rutin kesukarelawan itu harus dibudayakan supaya tak dilihat hanya rutin individu. Ini sebenarnya banyak dibina melalui masa.

“Banyak memerlukan kita infak diri kita. Konsep infak bukan hanya duit, tetapi kita wakafkan diri kita berdasarkan kelebihan diri kita. Itu kita lakukan seperti saya dari Abim sampai ke GPM,” katanya.

Menurutnya, konsep perlu lebih luas, bukan sekadar menjadi sukarelawan, tetapi pemimpin sukarelawan yang proaktif.

 

Kita dah cukup baik

Kebiasaannya apabila melihat negara ditimpa musibah, kita hanya sebut ‘kasihan’, tapi pernahkah terfikir kalau itu terjadi di negara kita, adakah cara sama kita menyantuni mangsa terlibat?

Persoalan itu dibangkitkan Ahmad Fahmi yang menyifatkan dalam soal membina manusia, kita harus menyambung apa diusahakan Rasulullah SAW dalam misi kerasulan Baginda.

“Bantuan kemanusiaan harus kita beri tanpa lihat bangsa atau agama apa. Patut dalam keadaan senang kita membantu. Tapi biasanya bila tengok negara lain bergolak, kita rasa biasa hingga hanya nak lihat apa seterusnya.

“Krisis kemanusiaan misalnya kita rasa normal. Yaman, Palestin diserang kita rasa biasa. Ini kena periksa diri, adakah kita hadapinya dalam keadaan melihat ‘itu biasa’ atau ada timbul kesedaran dalam diri, ada tak elemen sensitiviti?,” katanya ketika menjawab soalan berhubung tahap kesukarelawan di negara ini.

Menurutnya, apabila penerimaan santai, kita tidak dapat melihat sesuatu sangat penting dan sensitif itu harus diberi perhatian.

Merujuk contoh pelarian, Ahmad Fahmi membangkitkan persoalan adakah konsep penerimaan, Muhajirin dan Ansar semasa zaman nabi, dapat dipraktikkan sukarelawan kita.

“Misalnya Turki bantu Syria, membantu orang dizalami yang mana doanya dimakbulkan, bayangkan kalau tiga juta doakan negara membantu mereka sejahtera. Bukti nyata, Turki kini jadi antara contoh negara Islam, ini mungkin balasan kerana membantu orang.

“Dalam keadaan kita hari ini, konsep menyantuni pendatang misalnya, jika kita kata mereka muhajirin, adakah kita hari ni layak digelar Ansar? Bagaimana kita menyantuni, memberi dan meraikan dan menyediakan (bantuan). Ini mungkin kita boleh tanyakan diri kita, sejauh mana kita buat berikan kesan.

“Kita harap bukan hanya manusia berubah, tapi diri kita sendiri berubah. Kadang kita rasa kita dah selesa.. dah baik, sebenarnya tak,” tegasnya.

Fahmi turut mengingatkan program kesukarelawan dijalankan tidak sekadar ‘touch and go’, sebaliknya ‘touch and stay’.

Menurutnya, hasilnya mungkin tidak nampak sekarang, tapi dengan membina budaya dan membantu secara jangka panjang dan berterusan, akan menampakkan kesan, khususnya melalui pendidikan.

 

Bantu berfasa

Sebaik-baik hamba adalah banyak diperlukan dan ditagih kebaikannya, itu nasihat kepadanya paling diingati Muhammad yang mengasaskan MVM seawal usia 20-an.

Bagi pemuda berusia 23 tahun ini, nasihat itu membuatkannya menyedari menjadi sukarelawan bukan sekadar mengangkat kotak, menyampaikan sumbangan, senyum, berswafoto dan mendapat ‘like’.

“Itu anak muda kena sedar, nak mulakan sukarelawan, NGO bukan sekadar tempat raih simpati. Apa saya boleh bawa kepada anak-anak muda, kerja sukarelawan boleh jadi satu kerjaya, malah boleh fokus.

“Bila bantu, kita akan wujud rasa ketagih. Apapun anak muda kena berbalik pada mak ayah, sedarkan mak ayah kita, kalau nak ubah konsep sukarelawan,” katanya.

Tegasnya, dunia sukarelawan di Malaysia masih takkan ke mana jika tidak mulakan kesedaran.

Menurutnya, MVM juga menjalankan bantuan berkala dengan fokus kepada keluarga memerlukan dan mengingatkan pergerakan dalam kumpulan atau organisasi lebih berimpak tinggi.

“Jadi kena ada asas. Tapi anak muda kita dah terperangkap. Hanya ingat bila sukarelawan... misi luar negara.

“Padahal sekitar kita ada kerja sukarelawan kita boleh buat dan sangat mudah sebenarnya,” katanya.

Berkongsi keterlibatan anak muda dalam kesukarelawan, Salman pula jujur berkongsi biarpun pada mulanya ‘dipaksa’ ibu, namun kemudian jatuh minat dalam bidang itu.

Menurutnya, dia terlibat sukarelawan kerana mahu menjadi lain daripada orang lain, dalam membina diri, bagaimanapun terdapat cabaran perlu dihadapi.-AG