SUDAH tentu tidak ada jawapan yang betul atau salah untuk persoalan ini kerana kita semua tidak serupa dan mempunyai sebab dan alasan berbeza untuk setiap tindakan diambil.

Dalam penyelidikan sebuah badan bukan keuntungan antarabangsa, One World Centre yang memberi inspirasi dan membantu menangani kemiskinan di seluruh dunia, NGO ini mencadangkan sebab kita memberi wang atau menjadi sukarelawan dengan tiga alasan utama.

Pertama, semata-mata kerana mahu mengutamakan kebahagiaan dan kesejahteraan orang lain daripada diri sendiri atau dinamakan altruistik - “Saya berikan sumbangan kerana saya menghargai kebaikan sosial yang mereka lakukan.”

Kedua, benar-benar altruistik - “Saya berbuat amal kerana tahu bahawa saya menyumbang kepada kebaikan sosial.”

Ketiga, tidak sama sekali altruistik - “Saya menyumbang kepada badan amal kerana ingin menunjukkan kepada orang lain bagaimana kaya dan atau seberapa baiknya saya.”

Kita biasa melihat mereka mempunyai kelebihan diri dalam aspek tertentu akan menghulurkan sumbangan membantu golongan memerlukan.

Bagi mempunyai kelebihan dari segi kewangan, sudah tentulah akan menghulurkan wang; yang ada kelebihan ilmu akan membantu dari segi ilmu dimiliki. Pendek kata, apa ada pada diri dimanfaatkan untuk memberikan kebaikan kepada mereka memerlukan.

Penceramah Motivasi dan Pengarah Pembangunan Insan Sabah Care (PISC), Akhwan Afandi Zulkifli berkata, baginya sendiri, setiap bantuan kepada orang lain bergantung kepada niat.

“Ada kata tiap apa kita lakukan ada balasannya, trend buat kebaikan masuk FB dikatakan riak, semua amal berbalik pada niat. Apabila memberi nak imbuhan? .... Apa saya boleh kongsikan sepanjang 15 tahun buat kerja amal ini, tak sampai lima orang menyumbang dan nakkan sesuatu.

“Saya rasa ini benda baik. Jika buat dan nak sampaikan kerana ALLAH, DIA pun akan mudahkan,” katanya ketika menjadi salah seorang panel jemputan FB Live Cakna Sinar bertajuk “Tolong kerana nama” di Pejabat Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, baru-baru ini.

 

Jadi tarikan

Mengulas tindakan sesetengah pihak menolong kerana hendak mendapat nama, baginya masing-masing mempunyai sebab tersendiri.

Merujuk usaha pihaknya sendiri, Akhwan berkata, sejarah penglibatan pihaknya bermula bermula dari anak Sabah yang prihatin pembangunan insan di Sabah dengan mewujudkan Sabah Care.

“Saya pula melalui Pusat Latihan Dakwah Darul Adnin, syarikat saya Adnin Global Resouces sentiasa adakan program motivasi merata dan ada kelebihan sikit kita buat program di pedalaman Sabah secara percuma. Jadi pertembungan pembangunan insan dan Sabah Care - digabungkan jadi PISC dan bergerak dah lebih15 tahun.

“Atas sebab banyak permintaan, ada dari Tawau, Beaufort, Kota Kinabalu. Kenapa Sabah? Kita pandang keadaan seluruh Malaysia, Sabah pun nak sama besar dengan Semenanjung, walaupun sebuah negeri, tapi daerahnya luas macam negeri.

“Jadi nampak perlu hulur bantuan bersama dalam membantu pihak berwajib menangani masalah-masalah di pedalaman, antaranya pembangunan insan sendiri,” katanya.

Menurutnya, isu kurang kemahiran hidup, kemudahan hingga keperluan rohani hingga menyebabkan gejala murtad meningkat satu ketika dulu, menyebabkan pihaknya terpanggil bekerjasama dengan pihak berwajib apalagi mendapat sokongan mereka.

Akhwan berkata, disebabkan itu pihaknya membuat banyak kerjasama dan berkongsi dengan masyarakat, terutama dengan menyebarkan program dijalankan di media sosial.

Mengulas trend NGO memanfaatkan keterlibatan figura atau seseorang dikenali dalam bergerak, menurutnya seperti pihaknya, ia hanya jadi tarikan supaya hati seseorang itu terbuka.

“Tapi kita selalu ingatkan orang ramai, bukan sebab ada sukarelawan artis nyanyi lagu atau ada hiburan misalnya, baru nak menyumbang, sumbang kerana ALLAH. Bila kita lemah, tempat bergantung kepada Maha Hebat iaitu ALLAH.

“Begitulah bila kita buat kerja-kerja NGO. Kalau nak kira pandangan orang bermacam. Yang penting perjalanan cantik dan baik, tahu tanggungjawab dan amanah diberikan perlu dilaksanakan menurut syariat ALLAH. Ini yang telah ALLAH tentukan,” katanya.   

 

Niat membantu
  

“Kalau orang kata saya bantu sebab nak nama, memang nak nama... tapi nama di mata ALLAH.  Sebab di situ saya nampak untuk masuk ke syurga ALLAH (bukan senang), syurga ni mahal tuan-puan.”

Itu kata Duta NGO PISC, Izam EYE atau nama sebenarnya Mohd Izam Mohd Arshad, 50, yang menyifatkan kebiasaan kita hanya sibuk bekerja siang dan malam untuk mencari harta dunia yang boleh dilihat.

Sedangkan katanya, bagi dirinya apa lebih penting niat membantu adalah untuk mendapat balasan di kemudian hari melalui sedekah jariah.

“Bukan sedekah saja dapat, yang menguruskan pun dapat pahala. Mudah-mudahan dengan doa daripada orang yang dapat bantuan kami,  dapat menolong kami masuk syurga. Kalau manusia faham makna jariah, sekejap saja tabung dah penuh. Sebab itu ada suka kerja NGO ini, walaupun tak dibayar.

“Pada saya soal glamor saya dah tak hairan, saya tak pandang semua tu. Yang saya pandang bagaimana nak dapat glamor di mata ALLAH. Ini yang paling penting. Kalau nak naik nama, saya takkan join NGO. Sebab di hari tua saya, inilah saya nak cari menampung sisa hidup.

“Kalau nak nama, saya tak join Sabah Care, siapa kenal Sabah Care. Patut saya pilih NGO lagi hebat,” katanya yang juga panel jemputan bersama Akhwan dalam FB Live Cakna Sinar bertajuk “Tolong kerana nama”.

Dalam pada itu, menurutnya dia bersyukur asbab program berat diusahakan, ALLAH membuka pintu hati pihak berwajib untuk membantu, misalnya dari segi kemudahan masjid serta bekalan air dan elektrik.

Usaha pihaknya pergi dan menguar-uarkan keperluan masyarakat berkenaan secara tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan terutama di kawasan pedalaman yang terlalu luas untuk dijangkau.

“Saya suka nak share macam mana kenal NGO ini. Selepas berhenti dari industri hiburan tahun 1999, saya tak ambil apa show, saya belajar agama. Sepanjang tak nyanyi selama 14 tahun, saya bisnes sendiri.

“Pada 2014, saya jumpa ustaz Akhwan dan Ali XPDC. Lepas tu mungkin ALLAH bukakan hati, ustaz panggil saya bersama dia, saya pun tak tahu apa-apa. Saya pun terbuka hati untuk bantu.

“Apalagi bila lihat bagaimana keadaan di pedalaman Sabah sana. Balik saja dari situ, saya terus beritahu nak tolong apa patut. Kalau tak ada show dan berkelapangan, saya bantu,” katanya.

 

Mudah dekati

Terdahulu, menurut Akhwan pihaknya bergerak sendiri selama beberapa tahun sebelum melibatkan personaliti terutama selebriti berasal dari Sabah.

Katanya tujuan membabitkan selebriti dalam PISC asalnya bukan untuk mengumpul dana, sebaliknya bertujuan supaya golongan itu boleh dibawa bersama ketika pergi ke pedalaman Sabah.

“Sesetengah masyarakat ni, bila jumpa orang dikenali, lebih mudah dekati mereka. Tapi bila masuk kampung  main datang dan terjah, ada tak kenal tak bagi peluang bersama dengan orang kampung. Tapi kebanyakan orang di Sabah lembut hati, walaupun tak kenal, sangat baik ajak tidur di rumah mereka.

“Bila selebriti pun tawarkan untuk sama-sama cari dana kita bersyukur, lagipun mereka ada nama. Sedangkan nabi kita pun ada nama, dan hingga kini nabi dikenali. Penting nama dan glamor untuk buat kerja-kerja kebaikan,” katanya.

Selain Izam, menurutnya ada beberapa personaliti lain turut menjadi duta PISC dan bersyukur mereka terus aktif bersama mahu membantu.

 

 

REAKSI

"Sebenarnya macam kami sebagai orang pencen minat nak tabur bakti dengan apa kita ada tanpa bayaran. Kita nak pergaulan, tak adalah perap di rumah. Kita buat secara ikhlas dengan bakat kita ada. Apa pun tujuan kita menolong bergantung kepada niat. Macam kami memang niat bantu ibu tunggal, anak yatim dan asnaf dengan cara sukarelawan.”

- Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Shah Alam (Pitsa), Samiah Adam

 

"Tak dinafikan,  ada yang menolong sebab nak dapat balasan dan nak orang lihat mereka buat kebajikan. Ada juga memang ikhlas atas dasar untuk menolong sesama manusia. “

- Ronizam Ahmad, 32, pekerja swasta

 

"Sebagai ahli keluarga terdekat mereka yang buat kerja sukarela ini perlu faham dan sentiasa bagi sokongan. Kadang bukan senang buat kerja untuk orang lain tanpa harapkan apa-apa balasan. Yang penting kita dapat rahmat daripadaNYA.”

- Rosmawati Hassan, 38