MAJLIS Belia Negeri Johor (MBNJ) menyambut baik saranan dan nasihat daripada Penaung Diraja MBNJ yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Iskandar Ibn Sultan Ibrahim agar MBNJ mengepalai semua gerakan kesukarelawan di Johor.

Usaha ini termasuk dalam kesukarelawan kebajikan, sukan dan rekreasi, kebudayaan dan kesenian serta kelestarian alam sekitar dan keceriaan sungai di Johor.

Presidennya, Salleheen Mohamad berkata, MBNJ berpandangan usaha turun padang TMJ kerap bersama akar umbi bukan perkara baru, tetapi ia membantu badan belia Johor dengan sokongan diraja yang amat menyayangi rakyatnya.

“DYAM TMJ juga sedia bersama belia turun ke daerah-daerah melalui program dirancang kerana baginda percaya, dengan cara itu sahaja dapat merasai denyut nadi rakyat bangsa Johor.

“MBNJ berharap segala tindakan dan komitmen belia untuk bersama DYAM TMJ akan mendapat sokongan semua pihak terutama daripada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis TMJ bersama Anak Muda Bangsa Johor (TEMASHOR) dengan kepimpinan belia seluruh Johor, di Johor Bahru, baru-baru ini.

Program melibatkan kehadiran lebih 500 pemimpin belia pelbagai peringkat negeri, daerah dan kawasan ke Temashor 2018 disifatkan manifestasi utama kesukarelawan belia yang begitu teruja dapat bermesra bersama TMJ.

Dalam kenyataannya, MBNJ turut berharap agar rancangan pembinaan 1,000 rumah di tanah seluas 60 hektar akan datang, memberi peluang kepada para belia memiliki kediaman sendiri.

Salleheen berbangga TMJ turut memberi komitmen penuh untuk bergerak seiring usaha MBNJ, dan tidak ragu-ragu untuk ‘turun padang’ melakukan kerja-kerja kesukarelawan seperti mengecat yang beliau lakukan di Surau Nur Falah Sri Stulang, pada hari program.