MENARIK usaha NGO ini yang memberikan tumpuan terhadap kesedaran kepentingan pendidikan awal kanak-kanak terutama bagi mengenal pasti anak istimewa yang perlu dibantu.

Menyedari kos perlu dikeluarkan penjaga dan ibu bapa memiliki anak kalangan golongan ini bukanlah alang-alang, R Vanisri Saravanan mengambil inisiatif menubuhkan National Association Of Learning Disabilities Malaysia (LD-Hope) bagi membantu.

“Walaupun tumpuan kami terhadap kanak-kanak bawah usia 7 tahun, cabaran kami  adalah untuk memastikan seseorang kanak-kanak istimewa itu mendapat terapi dan pantauan berterusan, walaupun selepas usia itu. Isunya adalah keupayaan ibu bapa meneruskan pembiayaan terapi, walaupun harga kami lebih rendah daripada NGO lain yang beri tumpuan anak istimewa.

“Biasanya seorang anak istimewa perlukan terapi tiap bulan, sekurang-kurangnya selama dua tahun. Jadi macam mana selepas itu? Seperti kencing manis... kena sentiasa ambil ubat. Tapi dalam kes ni, terapi itu jadi ubat mereka,” katanya semasa ditemui di pusat pembelajaran LD-Hope, di Kemuning Avenue, Shah Alam.  

Menurutnya, menjadi kebimbangan, sekiranya seseorang anak istimewa itu tidak mendapat pantauan terapi berterusan, ketidakupayaan pembelajarannya boleh kembali ke asal.

Bukan soal bayaran, sebaliknya Vanisri berharap, anak-anak istimewa menyertai LD-Hope berubah lebih baik kerana percaya soal pendidikan bukan sekadar menulis, membaca dan mengira, sebaliknya menerapkan konsep pembelajaran hands-on termasuk kemahiran.

“Yuran terapi kita cuma RM22 setiap jam di mana sebulan anak istimewa ini perlukan 20 jam terapi. Ada ibu bapa berdepan masalah dengan yuran ini, sebab itu kita buka NGO.

“Apa dilakukan ini dengan harapan kita dapat wujudkan kesedaran, misalnya penyakit ini dapat dikenalpasti dari awal, bukan selepas usia tujuh tahun,” katanya yang menubuhkan LD-Hope sejak tahun lalu.

 

Tanggungjawab kerajaan

Mengimbau penubuhan LD-Hope, dek kerana kerjaya Vanistri dalam lapangan pendidikan sebagai pensyarah, dia mengambil inisiatif membuat kajian berkaitan tahap penerimaan ilmu sama ada boleh ‘dipaksa’ anak-anak seawal usia tahu bercakap. Apa tidaknya, seawal tiga tahun dia sendiri sudah mampu membaca.

Terlibat kajian pembelajaran awal kanak-kanak sejak 2003, dia merasakan banyak perubahan berkaitan perlu dibuat di negara ini. Namun teori tanpa praktikal tiada maknanya hingga dia mengambil keputusan membuka pusat pembelajaran awal kanak-kanak sendiri.

“Beberapa tahun lepas buka kelas sekitar tahun 2008-2009, saya dapat permintaan ibu bapa untuk mengajar anak istimewa dan kita cuba bantu. Tambahan pula ia melibatkan kajian saya sebelum itu.

“Kini kita ada dua golongan murid, normal kira-kira 55 orang dan istimewa, 45 murid. Awalnya ada anggap sekolah kami untuk anak istimewa saja. Tapi kami kata tidak, kami turut ajar murid biasa tetapi punya kelayakan mengajar anak istimewa.  Ambil masa tujuh tahun juga penerimaan ibu bapa dan murid,” katanya.

Menurutnya, lebih penting ibu bapa menghantar anak ke LD-Hope juga sangat bekerjasama, tiada masalah membenarkan anak-anak belajar di tempat dan bergaul antara satu sama lain, sekali gus mengajar keperluan sosial sepatutnya.

Vanistri berkata, hingga kini antara paling ramai anak istimewa dihantar ke LD-Hope kalangan mempunyai autisme, diikuti lain-lain seperti ADHD, lambat bercakap, kurang tumpuan dan lain-lain.

“Sekarang memang banyak NGO berkaitan, tapi penekanan kami kepada pendidikan  awal, kita nak kenal pasti kekurangan anak dari peringkat awal dan cuba ubah sebelum mereka masuk peringkat sekolah.

“Harapan kita kerajaan perlu main peranan dalam pendidikan awal kanak-kanak ini, seperti pastikan pendidik ke bidang ini perlu ada sikap, minat, kemahiran bukan hanya ada sijil mengajar.

“Latihan penting main untuk guru peringkat ini kerana mereka main peranan untuk kenal pasti sebarang ‘keistimewaan’ anak-anak ini di peringkat awal. Pengetahuan guru terhadap bidang ini sangat kurang, jadi ramaikan lagi guru dan mereka yang mahir,” katanya yang berharap dapat mewujudkan sekolah sendiri bermula peringkat pra, sekolah rendah, menengah sehingga kolej ini di bawah LD-Hope.LD-Hope akan mengadakan Seminar and Workshop On Early Childhood Education & Learning Disabilities pada 27 hingga 28 Oktober ini bertempat di Fakuti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya.

Maklumat lanjut di Facebook, National Association of Learning Disabilities Malaysia. -AG