"KESUSAHAN membantu orang itulah kepuasan saya.”

Itu kata aktivis yang juga Pengerusi Mahabbah Baroqah, Badariah Abu Bakar ketika berkongsi minat keterlibatan dalam NGO.

Mengakui seorang yang mudah menangis dan suka bermuhasabah diri, sejak di bangku sekolah wanita berasal dari Kg Sri Kinta, Ipoh, Perak ini aktif dengan aktiviti kesukarelawan bersama masyarakat.

Apabila berhijrah ke ibu negara, maklum kelebihannya, ada sahabat mencadangkan membuka gerai jualan beras, al-Quran dan barangan keperluan asas untuk hasilnya diinfakkan kepada golongan memerlukan.

“Pada 2014 mula-mula buat jualan amal itu separuh masa saja, tiap Jumaat di Masjid Subang Airport, sebabnya masa tu saya mengajar kelas agama al-Quran dan fardu ain sekitar JPN, HUKM dan HKL.

“Banyak dapat infak masa tu. Enjoy buat kerja ini tapi tak cukup masa, jadi lepas tu saya pilih buat sepenuh masa,” katanya.

Menariknya jualan amal Mahabbah Baroqah sebelum ini bukan saja didatangi penduduk setempat, namun penyumbang dari seluruh negara. Hasil sumbangan dihantar ke pondok dan rumah kebajikan.

Pernah Badariah menerima paling banyak sumbangan ketika banjir besar melanda di Kuala Krai, Kelantan pada 2014.

Pengalaman berdepan mangsa di negeri Cik Siti Wan Kembang itu antara titik tolak buatnya semakin aktif dalam kerja-kerja kebajikan hinggakan hampir setiap minggu keluar menyampaikan sumbangan.

Tumpu Peduli Relief

Nekad mengembangkan lagi ‘sayap’ kebajikannya, baru-baru ini Badariah terpaksa menghentikan program infak beras di Masjid Subang Airport bagi memberikan fokus kepada NGO Peduli Relief, baru kira-kira sebulan ditubuhkan.

Bertugas sebagai Bendahari Peduli Relief, menurutnya gabungan beberapa NGO dalam pertubuhan itu memainkan peranan kebajikan membantu masyarakat dalam ruang lingkup lebih besar, antara menarik perhatiannya.

“Bagaimanapun Mahabbah Baroqah sebenarnya masih lagi aktif sebab orang kenal NGO ini.

“Dalam Mahabbah Baroqah saya bergerak dan hantar sendiri sumbangan, jarang gunakan orang tengah. Sebab ada juga cabarannya bila orang ambil dan jual semula beras itu,” katanya.

Enggan mengambil pusing kesusahan terpaksa ke sana ke mari menggunakan kereta sendiri, baginya ‘tak kisah’ kerana sudah niatnya mahu membantu.

Berkongsi pengalaman sepanjang menjalankan kerja kebajikan dengan sokongan suami, Mohd Yaacob Abdul, menurutnya sebelum ini jarang dia sendiri menghantar sumbangan kepada mereka memerlukan di sekitar kawasan kediamannya di Lembang Subang.

“Sumbangan dekat-dekat saya jarang hantar, tapi minta wakil, kalau saya hantar pun waktu malam. Sebab bagi saya bila bagi sumbangan ni biarlah ibarat semut hitam berjalan di waktu malam. Mereka tak kenal kita, akak suka macam tu, seeloknya biarlah pemberian itu orang tak tahu.

“Sampailah ada seorang pakcik ini nak jumpa saya, mungkin ingat lelaki sebab biasa saya gunakan nama ‘Bada’. Jadi ada cadangan minta saya ‘turun’. Dari situ saya mula turun padang,” imbas wanita berusia 46 tahun ini.

Badariah kadang menjual barangan sendiri seperti pakaian, malah menggunakan simpanan peribadi bagi menambah dana.

Buat masa ini, dia turut membantu masyarakat di utara, di Sik dan Baling, Kedah, baginya ia dijalankan di situ setelah melihat sendiri kesusahan di sana ketika usahasama program dengan NGO lain.

“Hampir tiap minggu lebih 10 tahun lalu saya ke sana. Suami juga sumbang bantu buat rumah, bilik air, modal bela kambing untuk penduduk. Walaupun terdapat juga cabarannya, apa diharapkan akan ada manfaatnya buat penerima dan saya akan teruskan juga membantu sebab bagi saya ia satu kepuasan.

“Terima kasih pada saudara Ali Nayan dan sahabat serta anak-anak, Muhamad Nur Ehsan, 24, Nur Fatihah, 25, dan Aina Farisha, 8, yang faham dan sentiasa beri sokongan moral,” katanya.

Hasrat Badariah sebagai aktivis untuk melihat perubahan masyarakat khususnya mengurangkan masalah kemiskinan walau sedar ia sesuatu yang sukar.

Mereka berhasrat menyumbang boleh salurkan ke akaun Mahabbah Baroqah, 860 2263 029 (CIMB) dan untuk pertanyaan boleh hubungi 012- 3700197. -AG