SELARI isu penetapan gaji minimum hangat diperkatakan akhir-akhir ini, polemik berhubung isu kemiskinan bandar juga seakan belum menemui mekanisme bagi mencapai titik noktah.

Laporan Bank Negara 2017 menganggarkan gaji kehidupan wajar (the living wage) di Kuala Lumpur adalah antara RM2,700 bagi individu bujang, RM4,500 bagi pasangan mempunyai seorang anak dan RM6,500 bagi pasangan mempunyai dua anak.

Keadaan ini bagaimanapun tidak selari dengan realiti gaji diterima oleh komuniti bandar pada masa ini, sekali pun gaji penengah (median) bagi Kuala Lumpur pada 2016 ialah RM9,073, hanya 27 peratus isu rumahnya hidup di bawah gaji kehidupan wajar.

Penemuan ini membangkitkan persoalan tentang cabaran miskin bandar di Malaysia dan hala tujunya sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

Kos sara hidup tinggi, masalah sosial dan kekeluargaan, nutrisi dan kesihatan serta persaingan buruh tempatan dan asing merupakan antara isu timbul akibat wujudnya miskin bandar.

Demi mencapai hasrat menjadi negara maju, Malaysia perlu mengambil langkah berkesan untuk menangani masalah ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, perpaduan antara elemen utama untuk mencapai kesejahteraan hidup, terutama sekali di kawasan bandar yang mana penduduknya terdiri daripada pelbagai latar belakang berbeza.

Menurutnya, justeru jurang antara penduduk asal, migran tempatan mahupun asing perlu dikurangkan melalui pemberdayaan ekonomi, interaksi bermakna dan bermanfaat serta kerangkuman dalam sistem perbandaran.

“Halangan-halangan wujud terutama sekali melibatkan kelompok miskin bandar perlu dikaji dan ditangani agar setiap individu berpeluang menikmati hidup sejahtera.

“Salah satu daripadanya adalah dengan menyokong kempen menggalakkan majikan untuk membayar upah dan gaji setara dengan tugasan dan kelayakan para pekerja,” katanya dalam ucapan perasmian olehnya dalam Persidangan Gaji Kehidupan Wajar dan Realiti Miskin Bandar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di Ikim, ibu negara, baru-baru ini.

 

Tuntutan kos

Dalam pada itu, Khalid berkata, gaji berpadanan, membantu masyarakat terutama penduduk bandar untuk mengimbangi tuntutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurutnya, di peringkat global, ada usaha melihat gerakan kempen gaji dilakukan oleh The Living Wage Foundation (“What are the Benefits of Accreditation” http://wwwlivingwage.org.uk/good-for-business).

“Majikan menyertai kempen tersebut dianugerahkan akreditasi sebagai satu firma menawarkan gaji berpatutan kepada pekerja. Selain itu, inisiatif lain boleh dilakukan dengan memastikan keperluan kumpulan miskin bandar termasuk dalam perancangan bandar sejahtera.

“Keutamaan perancangan bandar yang baik seharusnya mengambil kira aspek mobiliti penduduk bandar bergerak mencari rezeki, perumahan kondusif, pendidikan dan latihan, serta menggalak sistem jaringan sosial terutama bagi pembangunan anak-anak,” katanya.

Di Malaysia, unjuran tahun 2018 perlihatkan penduduk tinggal di bandar sekitar 24.1 juta, manakala kawasan luar bandar seramai kira-kira 7.5 juta orang.

Khalid berkata, antara cabaran dihadapi bagi penduduk bandar tinggal di kawasan perumahan awam ialah isi rumah yang bergaji rendah, ahli isi rumah ramai serta kanak-kanak kurang nutrisi.

Laporan Kanak-kanak Pinggiran Unicef Malaysia 2018 yang mengkaji 17 lokasi penempatan perumahan kos rendah mendapati sembilan daripada 10 ketua isi rumah mempunyai pekerjaan separuh mahir atau pekerjaan berkemahiran rendah; satu daripada tiga isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan; 22 peratus daripada isi rumah mempunyai tiga generasi tinggal bersama dan sama juga masalah nutrisi kalangan kanak-kanak.            

 

Realiti pahit diterima                

Walaupun menerima gaji lebih daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK) negara dan pendapatan minimum, golongan ini masih bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup di bandar, kata Khalid.  

Menurutnya, dalam konteks pekerjaan, penduduk miskin bandar bekerja dalam sektor berbahaya dan juga sektor informal menawarkan upah rendah atau persekitaran kerja kurang selamat.

“Lebih menyedihkan apabila kelompok miskin bandar ini sebenarnya bekerja keras dengan upah masih lagi rendah.

“Sebagai contoh, secara purata responden kajian dalam Laporan Kanak-kanak Pinggiran Unicef Malaysia 2018 bekerja selama 48 jam seminggu dengan gaji RM9 sejam berbanding purata jam kerja kebangsaan iaitu 47 jam seminggu dengan gaji sebanyak RM12 sejam,” katanya.

Menurutnya terdapat halangan sosial menyebabkan penduduk miskin bandar tidak terlibat dalam pekerjaan atau hanya bekerja dalam sektor separuh mahir.

Ini adalah termasuk akibat kurang kemahiran, ketidakupayaan untuk ke tempat kerja akibat daripada masalah pengangkutan, kekurangan kemudahan penjagaan anak-anak, stigma dan budaya tidak menggalakkan wanita untuk melibatkan diri dalam sektor pekerjaan formal.

“Sebenarnya penduduk miskin bandar terdiri pelbagai jenis masyarakat. Sebahagiannya ditempatkan semula, dari kawasan luar bandar dan sebahagiannya pekerja warga asing separa mahir.

“Peningkatan pekerja asing ini secara tak langsung hadkan kemudahan pada rakyat Malaysia terutama dalam konteks perumahan. Mereka juga sumbang pada kadar kemiskinan di bandar. Justeru dalam memerangi miskin bandar, kita juga perlu lihat aspek migrasi warga asing ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Ikim, Datuk Zakaria Hashim berharap isu miskin bandar dapat ditangani menjelang 2020.

Menurutnya, umumnya gaji dan upah penduduk di bandar lebih tinggi dari luar bandar, bagaimanapun ia ditentukan pasaran yang terdedah spekulasi menyumbang penentuan gaji dan upah tidak telus.

 

Modal insan

Zakaria berkata, dalam program ini diharap tajuk dan isu dibincangkan melalui  persidangan kali ini tidak hanya bagi tujuan kelangsungan hidup semata-mata.

Menurutnya ada elemen lain penting dipertimbangkan seperti penjagaan anak-anak, ibadah selesa, kontraksi bermakna dan bermanfaat dalam masyarakat, makanan seimbang dan lain-lain, sekali gus mengatasi masalah sosial, jenayah dan konflik.

“Satu kajian dibuat tahun lalu dapati anak-anak tinggal di rumah pangsa hadapi masalah kekurangan makanan baik, tak dapat tuisyen, tak ada ruang belajar cukup.

“Laporan ini membimbangkan, generasi datang akan terjejas dari segi mental dan kemampuannya untuk jadi masyarakat boleh beri modal insan berkesan. Perbincangan ini tunjukkan realiti sesuatu pahit diterima, tapi berlaku di sekeliling kita iaitu miskin bandar,” katanya.

Pengarah Penyelidikan, Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Suraya Ismail pula berkata, terdapat elemen penentuan gaji penting diteliti sebelum membuat polisi gaji minima.

Menurutnya, walaupun lokasi menentukan gaji, namun  tahap pendidikan dan kemahiran juga memainkan peranan.

“Jika lihat jadual kajian ditunjukkan, pendapatan RM2,000 ke bawah pada 2014 ada mereka baki gaji hanya tinggal RM124 sebulan; tahun 2016, cuma tinggal RM76 ringgit. Tahun ini mungkin lebih teruk.

“Mungkin ada dakwa orang miskin, tapi nak macam-macam pakai Astro dan sebagainya, hanya segelintir macam tu. Realitinya tak semua, sebab data tak tunjukkan mereka berperangai macam tu,” katanya  semasa Ucaptama persidangan.

Menurutnya, golongan miskin bandar harus dibantu misalnya dengan zakat atau cukai pendapatan, jika tidak yang kaya akan terus kaya dan sebaliknya.            

 

REAKSI

"Golongan muda susah beli rumah, buat pinjaman pun susah. Gaji banyak mana pun memang tak cukup, bagi saya yang penting kena pandai menyimpan.”

- Pesara, Halimatun Ahmad Damanhuri, 77

 

"Zaman berubah, sudah tentu kos hidup bertambah terutama dalam bandar. Penting untuk tingkatkan ilmu ekonomi tambahan orang Melayu yang kurang ilmu hartanah.”

- AJK Perkim Selayang Baru, Muhammad Fakrulrazi Abdullah

 

"Pertimbangkan jumlah gaji sepatutnya diterima sebab sekarang kos hidup makan meningkat tapi gaji di takuk lama. Harap kerajaan buat sesuatu.”

- Pekerja swasta, Masyitah Mohd Anwar, 37