TIDAK sekadar menubuhkan kelab untuk berkongsi hobi sama,  sebaliknya grup ini menambah amal dengan menyumbang bakti kepada golongan memerlukan.

Biarpun baru ditubuhkan beberapa bulan lalu, prihatin masyarakat tinggal di pedalaman, ahli kelab kenderaan lasak pacuan empat roda, Kelab Rekreasi Beruntung (Beruntung Recreation Club) tampil menunaikan tanggungjawab sosialnya.  

Presiden Kelab, Fauzi Md Isa berkata, terbaru antara kawasan jadi tumpuan pihaknya adalah Tanah Adat Kg Selaoh di Grik, Perak menempatkan lebih 100 keluarga Orang Asli dari suku kaum Jahai.

“Kedudukannya 9 km dari jalan besar disambung dengan jalan balak, mereka tiada kenderaan seperti kereta atau 4x4.  Hanya beberapa motosikal untuk keluar membeli barang keperluan asas atau menunggu pekerja balak keluar masuk tumpang bawa barang keperluan. Jika musim hujan agak sukar perjalanan.

“Sebab itu, selain berekreasi di sini, kita pilih kawasan ini untuk dibantu,” katanya mengenai Trip Bantuan Kemanusiaan dan memancing ke Tanah Adat Kg Selaoh oleh kelabnya, pada 8, 9, 10 September lalu yang disertai 17 orang melibatkan empat kenderaan pacuan empat roda.

Fauzi berkata, tujuan utama Kelab Rekreasi Beruntung asalnya sekadar memenuhi hobi memancing di dalam hutan dan berkenderaan pacuan 4x4, namun setelah kali pertama perjalanan ke Kg Selaoh, pihaknya merasakan ada baiknya membantu mereka memerlukan di situ.

Menurutnya, biarpun pada masa ini memberi lebih tumpuan di kawasan itu, bagaimanapun sekiranya ada kelapangan pihaknya merancang ke kawasan lain mengikut maklumat diterima.

“Selagi boleh sampai mengikut kemampuan kenderaan ada, kami juga merancang ke lokasi lain. Namun masa ini, sudah kali ketiga kami ke Kg Selaoh untuk sampaikan bantuan.

“Setiap kali ke sana kami akan bawa sumbangan makanan dan pakaian terpakai untuk mereka. Perancangan setiap dua bulan akan masuk ke sana mengikut kelapangan masa ahli-ahli,” katanya mengenai kelabnya yang belum didaftarkan kerana sekadar hobi dan mempunyai seramai 20 ahli.

Selain menyampaikan bantuan, Kelab Rekreasi Beruntung juga melakukan aktiviti perkhemahan dan memancing di hutan berhampiran kampung tersebut.

 

Alu sumbangan

Mengupah Orang Asli membantu perjalanan pihaknya semasa di Kg Selaoh terletak di bahagian hulu bersempadan dengan Kelantan itu, Fauzi berkata, secara tidak langsung ia menyumbang untuk menambah pendapatan sampingan mereka.

Menurutnya, buat masa ini segala bentuk sumbangan diterima pihaknya dari kalangan ahli dan rakan-rakan serta kejiranan.

“Kami bergerak dalam kumpulan kecil supaya lebih mudah untuk menguruskan bantuan. Tetapi sumbangan barang-barang keperluan asas terutamanya beras, gula, tepung, susu, minyak masak dan lain-lain boleh terus berhubung dengan saya.

“Kami mengalu-alukan jika ada mana-mana pertubuhan, orang perseorangan, atau pihak syarikat mahu menyumbang, insyaAllah kami akan sampaikan bantuan tersebut kepada mereka,” katanya.

Mereka berminat untuk menyumbang dan mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Fauzi di talian 0192754755 atau email beruntungrecreationclub@gmail.com.  -AG